Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berhubung komitmen Kerajaan Negeri untuk mempertahankan sumber mineral Sabah.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah mengeluarkan lesen perlombongan kepada mana-mana pihak, dan sumber mineral Sabah akan terus dijaga dengan penuh integriti demi kepentingan rakyat.
“Sebagai rakyat Sabah, saya percaya ketegasan Kerajaan dalam menjaga kedaulatan sumber asli negeri ini adalah langkah penting untuk memastikan Sabah terus maju tanpa menggadaikan kepentingan alam sekitar,” kata Nizam dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, penerbitan lesen prospecting untuk tujuan kajian geomineral adalah prosedur biasa dan dilakukan untuk meneroka potensi sumber secara saintifik.
Namun, beliau mengkritik tindakan pihak tertentu yang memanipulasi fakta melalui penyebaran video dan propaganda politik, menyifatkan ia sebagai tidak bertanggungjawab dan berpotensi menggugat kestabilan politik negeri.
“Tuduhan palsu sebegini hanya bertujuan untuk mencemarkan nama baik Kerajaan dan mencetuskan keresahan di kalangan rakyat,” tambahnya.
Dalam pada itu, Nizam turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri atas komitmen terhadap prinsip ketelusan, keadilan dan kejujuran dalam pengurusan sumber asli negeri.
Beliau menyeru seluruh rakyat Sabah agar bersama-sama menyokong usaha Kerajaan Negeri demi memastikan kemajuan, kestabilan dan kemakmuran Sabah untuk generasi akan datang.


































