Redonah Bahanda
KOTA KINABALU: Kenyataan Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Sabah yang menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor meletak jawatan adalah cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada kes mahkamah mengaitkan pimpinan utama UMNO Sabah yang sedang berjalan di mahkamah dan diminta untuk membela diri.
Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Redonah Bahanda berkata, tindakan individu-individu ini sudah jelas, terang lagi bersuluh, ada niat lain sebenarnya dan cuba untuk ‘menghalalkan’ usaha hasutan rakyat.
“Selain itu, tindakan itu juga seolah-olah mereka ingin mengikuti jejak pimpinan UMNO Sabah untuk mengadakan Langkah Kinabalu II atau terdesak untuk diadakan pilihanraya segera dan sangat terdesak.
“Sabar, tidak perlu gelojoh dan terlalu kemaruk untuk memegang tampuk pemerintahan Sabah. Sampai masa kelak, PRN pasti akan berlangsung juga. Fokus kita sekarang adalah bantu rakyat Sabah, bukan jadi batu api!
“Lihat sendiri, sejak Hajiji menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri, terbukti beliau berjaya kerana pelbagai usaha berterusan dalam membawa hala tuju dan perancangan untuk Sabah menjadi realiti. Rakyat hari ini menikmati manfaatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Redonah menyifatkan kenyataan media Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Sabah yang menggesa untuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor meletakkan jawatan adalah sesuatu yang bersifat jahat, jelas bertujuan untuk menjejaskan imej beliau dan langsung tidak berasas.
“Kita tahu bahawa video-video yang tular yang mengaitkan beberapa pemimpin Gagasan Rakyat itu belum ditentukan kesahihan dan bersifat fitnah selagi pihak berkuasa belum menentukannya.
“Tidak ada mana-mana pihak yang mempunyai kuasa untuk menghukum atau menghakimi selagi sebarang keputusan salah laku belum dinyatakan oleh pihak berkuasa dengan sewajarnya. Hentikan segala tuduhan dan hasutan jahat anda!”
Redonah berkata, Ketua Menteri telah memberi jaminan bahawa di bawah pentadbiran beliau akan berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan dan kejujuran.
“Ini telah terbukti apabila beberapa pemimpin yang difitnah itu telah datang ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri secara rela tanpa dipanggil untuk memberi penjelasan.
“Mereka tidak pernah lari dan memberi kerjasama kepada agensi terlibat seperti SPRM.
“Ini membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin Gagasan Rakyat bertindak secara benar dan telus dan menafikan sekeras-kerasnya fitnah jahat yang dilemparkan terhadap mereka.”


































