“Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran saya tidak pernah mengeluarkan Lesen Melombong” – Hajiji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa sumber mineral negeri ini kekal terpelihara dan diuruskan dengan teliti demi masa depan rakyat.
“Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran saya tidak pernah mengeluarkan Lesen Melombong (Mining Lease) kepada mana-mana pihak.
“Sebarang dakwaan bahawa Lesen Melombong telah diberikan adalah tidak benar sama sekali.
“Setakat ini, Kerajaan hanya mengeluarkan Prospecting License yang bertujuan untuk penerokaan dan pengumpulan data geomineral.
“Proses ini adalah langkah awal yang
diperlukan sebelum sebarang permohonan Lesen Melombong daripada syarikat yang layak dapat dipertimbangkan.
“Malangnya, isu ini telah dijadikan propaganda politik oleh pihak-pihak tertentu dengan niat jahat untuk mencetuskan kekeliruan dan menggugat kestabilan politik.
“Kerajaan Sabah tidak akan tunduk kepada usaha yang berniat untuk menggugat kestabilan politik negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini, berikutan penyebaran beberapa klip video terbaharu.
Hajiji menjelaskan bahawa permohonan kumpulan tersebut melibatkan tanah
yang sangat luas, hampir 1 juta ekar.
Katanya, sebahagian besar kawasan itu adalah kawasan perlindungan sepenuhnya (Totally Protected Areas), kawasan tadahan air dan kawasan pemeliharaan.
“Apabila permohonan mereka tidak berjaya, beberapa klip video telah disebarkan sebagai usaha untuk mengancam Kerajaan Negeri.
“Tuduhan bahawa wakil rakyat meminta habuan atau melakukan salah laku berkaitan isu ini adalah tidak berasas.
“Perbuatan mengaitkan rakaman video yang telah disunting dan disebarkan dengan niat jahat, termasuk ancaman berbentuk pemerasan jenayah, adalah tindakan terdesak yang bertujuan mencemar nama baik Kerajaan dan menjejaskan kestabilan politik Sabah.
“Oleh itu, saya ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa pentadbiran saya kekal berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan dan kejujuran.
“Marilah kita bersama-sama memastikan kerajaan ini terus bertanggungjawab, responsif dan fokus kepada keperluan rakyat demi masa depan Sabah yang lebih maju dan sejahtera,” kata Hajiji.





























