Joniston Bangkuai
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) membentuk jawatankuasa untuk meneliti cadangan penggabungan dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH).
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi PBS semalam, susulan perbincangan tidak rasmi antara kepimpinan kedua-dua parti itu untuk meneroka kemungkinan penggabungan.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam itu memberi tugas mengetuai jawatankuasa itu kepada Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui.
PBS dan STARSABAH pada April tahun ini menandatangani Memorandum Persefahaman untuk bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya negeri, yang akan diadakan pada Oktober tahun depan.
Minggu lalu, Majlis Pimpinan Bersama (JLC) PBS dan STARSABAH mengadakan mesyuarat kedua untuk mengukuhkan kerjasamanya, termasuk mengenal pasti kerusi yang diharapkan untuk bertanding dan merangka pelan strategik.
“Jawatankuasa itu, yang anggotanya termasuk beberapa peguam, akan meneliti aspek teknikal penggabungan itu, antara lain,” kata Joniston dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, satu lagi keputusan penting yang dibuat pada mesyuarat itu ialah menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan tahun depan memandangkan pilihan raya negeri akan diadakan pada tahun sama.


































