Keadaan hujan lebat berterusan sejak semalam mengakibatkan kawasan jalan utama di Kok Lanas, Kelantan di naiki air.
PETALING JAYA: Gelombang pertama musim tengkujuh tahun ini mengakibatkan lima negeri terjejas dengan 18,895 mangsa dipindahkan ke 190 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurut Utusan Malaysiq, negeri yang terbabit dalam banjir gelombang pertama kali ini adalah Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah, Perak dan Perlis.
Setakat pukul 6 petang semalam, Kelantan menjadi negeri paling teruk terjejas apabila seramai 17,014 mangsa membabitkan 5,058 keluarga dipindahkan ke 113 PPS di sembilan daerah.
Berdasarkan laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 15 PPS dibuka di Kota Bharu, Pasir Mas (29), Tumpat (4), Bachok (4), Tanah Merah (17), Pasir Puteh (14), Kuala Krai (17), Machang (9) dan Jeli (4).
Mengikut pecahan diberikan, mangsa dipindahkan di Kota Bharu membabitkan 1,750 orang; Bachok (957); Tumpat (1,372); Kuala Krai (1,738); Pasir Puteh (1,937); Pasir Mas (5,270); Machang (1,448); Jeli (741) dan Tanah Merah (1,801).
Keadaan banjir di Kelantan diramalkan semakin meruncing apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan negeri itu akan terus dilanda hujan lebat berterusan bahaya sehingga Jumaat ini.
Bencana itu juga mengakibatkan operasi perniagaan Rantau Panjang terpaksa ditutup sementara apabila hampir semua jalan masuk utama ke pekan itu dinaiki air setinggi 0.4 hingga 0.8 meter tengah hari semalam.
Di Terengganu, sebanyak 77 PPS dibuka di enam daerah bagi menempatkan 2,332 mangsa membabitkan 738 keluarga setakat ini.
Antara daerah terjejas adalah Besut membabitkan 41 PPS, Setiu (12); Marang (2), Hulu Terengganu (17); Dungun (2) dan Kemaman (3).
Banjir di Besut mengakibatkan seramai 1,582 mangsa dipindahkan membabitkan 339 keluarga; Setiu (322); Marang (71), Dungun (29) dan Hulu Terengganu (328).
Bagaimanapun tiga PPS di Kemaman masih belum dikemas kini perpindahan mangsa banjir setakat petang semalam.
Di Johor, satu PPS dibuka di Segamat bagi menempatkan 28 mangsa membabitkan lapan keluarga, namun tiada maklumat lanjut diperoleh daripada laman sesawang tersebut.
Sebanyak 11 sekolah di tiga daerah di Terengganu terpaksa ditutup dan diberi cuti bencana setelah dinaiki air akibat banjir yang semakin buruk awal pagi semalam.
Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, daripada jumlah itu, lapan sekolah di daerah Besut, dua di daerah Setiu dan satu di Hulu Terengganu.
Menurutnya, sekolah terjejas di Besut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bukit Puteri dan SK Alor Keladi.
“Selain itu ialah SK Pusat Jerteh, SMK Pelagat, SK Apal, SK Seri Payung dan SK Padang Landak. Di Setiu pula, dua sekolah yang ditutup ialah SK Chalok dan SK Kampung Besut manakala di Hulu Terengganu ialah SK Lubuk Periuk,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Di Perlis, dua PPS menempatkan 50 mangsa daripada 13 keluarga di Perlis dibuka susulan kediaman dilanda banjir.
PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka, Arau dan SK Titi Tinggi, Padang Besar menempatkan mangsa banjir dari Kampung Rambai, Arau dan Kampung Titi Tinggi, Padang Besar.
Di Kedah, sebanyak satu PPS dibuka di daerah Padang Terap bagi menempatkan 32 mangsa daripada sembilan keluarga selepas kediaman mereka dinaiki air.
Di Perak, satu PPS dibuka di daerah Kerian untuk menempatkan 20 mangsa membabitkan tujuh keluarga selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir.
Sementara itu, Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip memaklumkan pihaknya meramalkan seluruh negeri Kelantan dan Terengganu serta dua daerah di Pahang iaitu Jerantut dan Kuantan akan mengalami hujan lebat berterusan tahap bahaya sehingga Jumaat ini.
Beliau berkata, amaran hujan berterusan tahap buruk turut dikeluarkan berkuat kuasa sehingga Jumaat ini membabitkan Perlis, Kedah, Perak dan Pahang.
“Kawasan yang terlibat adalah daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling di Kedah; Hulu Perak di Perak; Cameron Highland, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin di Pahang,” katanya dalam kenyataan semalam.
MET Malaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada membabitkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor dan Sabah sehingga Jumaat ini.
Kawasan terlibat adalah Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; seluruh Pulau Pinang; Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar di Perak; Raub, Bentong, Temerloh dan Bera di Pahang; Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor serta Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat di Sabah.


































