KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, telah mengerahkan anggota dan bot untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan sampah terapung dan terdampar di kawasan tersebut bermula kelmarin.
Jabatan tersebut dalam satu kenyataan memaklumkan, pemantauan akan diteruskan bagi memastikan tahap kebersihan di Jesselton Point dan Medan Selera Anjung Senja sentiasa terkawal.
“Sebagai usaha jangka panjang, DBKK telah merangka pelan tindakan komprehensif untuk menangani isu sampah di kawasan perairan bandar raya.
Pelan ini merangkumi beberapa strategi utama yang akan dilaksanakan secara berperingkat:
Strategi pertama: Pengukuhan Infrastruktur Pengurusan Sampah
DBKK akan membangunkan lebih banyak
pusat pengumpulan sampah yang mudah diakses, terutamanya di kawasan kampung persisiran sungai dan kampung di kepulauan. Langkah ini bertujuan memudahkan penduduk membuang sampah di tempat yang betul.
Strategi kedua: Program Pendidikan dan Kesedaran Awam.
DBKK akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan institusi pendidikan untuk melaksanakan
kempen kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran, melupuskan sampah dengan bertanggungjawab, serta mengurangkan penggunaan plastik sekali guna. Aktiviti seperti seminar, bengkel dan kempen media sosial akan diadakan untuk mendidik masyarakat mengenai kesan buruk sampah terhadap ekosistem laut.
Strategi ketiga: Penggunaan Teknologi dan Inovasi.
Di bawah strategi ini, DBKK akan memanfaatkan teknologi baharu dari luar negara serta inovasi digital untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan sampah dan pemantauan kawasan perairan. Dengan menggunakan aplikasi telefon pintar dan platform digital, DBKK dapat mengumpul data mengenai tahap kebersihan laut dan sungai serta mengenal pasti lokasi yang memerlukan
tindakan segera.
DBKK menyedari bahawa kejayaan pelaksanaan semua usaha ini memerlukan sokongan penuh daripada
masyarakat dan sektor swasta.
Oleh itu, DBKK menyeru semua penduduk dan pengunjung bandar raya agar
bersama-sama memainkan peranan aktif dalam menjaga kebersihan persekitaran demi kebaikan bersama.
Kenyataan ini susulan video yang tular
pada 25 November 2024 berkaitan isu sampah yang terapung di kawasan perairan Jesselton Point.
Video tersebut telah dimuat naik oleh pengguna TikTok, MattGoesGlobal, yang sebelum ini turut berkongsi video
mengenai keadaan persekitaran persisiran laut di Medan Selera Anjung Senja yang dilihat kurang bersih.
“DBKK sedia maklum bahawa isu sampah terapung di kawasan perairan bandar raya, termasuk saliran-saliran sungai, berada pada tahap yang kritikal,” kata kenyataan itu lagi.


































