Mohd. Yusri Hassan Basri
PETALING JAYA: Sebanyak 103,590 saman bernilai RM9.1 juta dijelaskan dalam tempoh tiga hari tawaran diskaun 60 peratus sempena Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 bermula 22 November sehingga semalam.
Menurut Utusan Malaysia, jumlah itu diperoleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman selepas kehadiran 32,500 orang menunaikan tanggungjawab menyelesaikan saman tertunggak.
Pengarahnya,, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, JSPT tidak menetapkan sasaran bagi penyelesaian saman namun berbangga dengan sambutan orang ramai kerana jumlah kutipan saman bukan keutamaan sebaliknya berbangga dengan jumlah penyelesaian saman yang tinggi.
“Ini menunjukkan kesedaran dan peranan orang ramai selain penyelesaian melalui platform secara dalam talian dan tanpa tunai (cashless).
“Kesemua kutipan saman berkenaan diperoleh melalui saluran bayaran saman yang disediakan antaranya kaunter Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara tunai dan E-Payment selain voucher yang diselesaikan melalui portan dan aplikasi MyBayar,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Saman-saman PDRM yang dijelaskan merangkumi kesalahan tertinggi iaitu pandu laju, abai lampu isyarat dan halangan lalulintas.
Beliau berkata, JSPT turut dalam kajian mengadakan program pengurangan saman di seluruh negara secara tanpa tunai melalui portal dan aplikasi MyBayar PDRM di samping meningkatkan lagi jumlah pengguna berdaftar.
“Kehadiran orang ramai dengan infrastruktur selesa disediakan melalui kolaborasi bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan urusetia Madani memberi sambutan menggalakkan.
“Sepanjang tempoh itu, orang ramai berpeluang mendapat maklumat terkini daripada agensi kerajaan lain mengenai pencapaian dua tahun Madani,” jelasnya.
Beliau berkata, orang ramai juga tidak seharusnya menunggu tawaran diskaun diumumkan untuk menjelaskan saman-saman mereka.
Tegasnya, orang ramai perlu mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas pada setiap masa, manakla tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin.
“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan tidak melakukan kesalahan berulang dan mengekalkan sikap pengguna yang berdisiplin tinggi di jalan raya,” katanya.


































