Hajiji bersama Jahid serta Menteri dan Pembantu Menteri yang hadir semasa lawatan kerja ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Sembulan hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk meningkatkan proses pentadbiran di semua pejabat daerah di negeri ini.
“Kementerian Pembangunan Luar Bandar adalah kementerian penting yang bertanggungjawab untuk mentransformasikan kawasan luar bandar dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, kerjasama daripada semua pegawai daerah adalah penting untuk memastikan agenda pembangunan Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan cekap, tambah beliau.
“Projek pembangunan luar bandar di peringkat Negeri dan Persekutuan mesti dilaksanakan mengikut jadual. Ini termasuk juga program kesedaran untuk masyarakat luar bandar,” katanya semasa lawatan kerja ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Sembulan hari ini.
“Paling penting, menjadi tugas pegawai daerah untuk menyelesaikan masalah di kawasan masing-masing,” ujarnya.
Ketua Menteri juga mahu kelewatan dalam pengeluaran elaun bagi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) diselesaikan dengan segera.
“Saya mahu Kementerian memantau prestasi pegawai di setiap pejabat daerah dan memastikan kerja dilaksanakan mengikut jadual, termasuk menyelesaikan isu elaun,” katanya.
Hajiji turut mengarahkan Kementerian untuk mengadakan kursus yang relevan kepada semua kakitangan di setiap pejabat daerah bagi menyelesaikan masalah penting di kawasan masing-masing.
Semasa lawatan kerja tersebut, Ketua Menteri dan rombongan telah diberi taklimat oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Norlijah Danin mengenai program-program semasa kementerian serta yang telah berjaya dilaksanakan.
Antara program tersebut adalah projek pembangunan kecil luar bandar, pembangunan usahawan luar bandar, ekonomi dan kemudahan luar bandar, pembasmian kemiskinan, satu daerah satu produk, aktiviti ekonomi tambahan, bekalan air alternatif luar bandar, bekalan elektrik alternatif luar bandar dan Rumah Mesra SMJ.
Turut hadir ialah Menteri Kewangan, Datuk Seri Haji Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif, pembantu menteri serta pegawai kanan jabatan.


































