KUALA PENYU: Beberapa projek pembangunan strategik telah dirancang untuk dilaksanakan di Kuala Penyu, bertujuan meningkatkan taraf ekonomi dan sektor pelancongan, sekaligus mentransformasikan daerah ini menjadi destinasi yang lebih maju dan menarik.
Pembantu Menteri Kerja Raya yang juga ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury berkata, antara projek utama yang dirancang ialah pembinaan Esplanade Kuala Penyu.
Menurutnya, esplanade tersebut akan dibangunkan di tebing Sungai Sitompok dan Sungai Periok-Periok sebagai usaha merancakkan sektor pelancongan daerah.
“Projek ini dijangka menjadi pemangkin ekonomi Kuala Penyu dengan menyediakan kemudahan seperti jeti pelancongan pertama di daerah ini. Fasiliti ini akan memastikan pelawat yang keluar masuk melalui jalan laut dikenakan bayaran perkhidmatan, sekali gus menyumbang kepada pendapatan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis penutupan Program Inisiatif Komuniti Lestari (IKL) Kuala Penyu 2024 di Dewan Terbuka Monsoi Point, di sini, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Selain Esplanade Kuala Penyu, Limus berkata, Dewan Kebudayaan Kuala Penyu juga akan dibangunkan untuk memenuhi keperluan masyarakat berbilang kaum yang masih mengamalkan tradisi dan adat masing-masing.
“Dewan ini sangat penting bagi menyediakan ruang berskala besar yang mencukupi, terutamanya semasa musim perayaan dan acara kebudayaan,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi rancangan pembangunan pasar baharu dan tapak Tamu Kuala Penyu yang lebih bersepadu.
“Dengan pembinaan 120 lot bangunan kedai baharu di tanah milik Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), tapak pasar dan tamu sedia ada perlu dipindahkan selewat-lewatnya awal tahun 2025.
“Pihak Majlis Daerah telah memohon tanah seluas kira-kira lima ekar sebagai lokasi baharu untuk tapak tamu mingguan,” katanya.
Tambahnya, Tamu Kuala Penyu, yang diadakan setiap Isnin dan Selasa, merupakan salah satu tarikan utama daerah ini yang perlu dikekalkan dalam pelan pembangunan.
“Kesemua projek ini dijangka memberi impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan di Kuala Penyu.
“Tambahan pula, pembukaan Hotel Club Med yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada Oktober 2025 bakal meningkatkan kedatangan pelawat dari dalam dan luar negara.
“Sehubungan itu, Kuala Penyu perlu bersiap sedia dengan kemudahan dan infrastruktur baharu untuk memastikan ia mampu bersaing sebagai destinasi pelancongan utama di Sabah,” katanya.


































