Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta kepada 625 sekolah tahun ini untuk tujuan pembelian peralatan digital dan ICT, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri memang prihatin terhadap keperluan digital yang menjadi tuntutan semasa.
Justeru, katanya, peruntukan melalui inisiatif Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) tersebut diberikan melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas).
“Peralatan digital dan ICT yang dimaksudkan ialah seperti komputer riba, LCD Projector, interactive whiteboard, Smart TV, audio system, skrin layar putih, dan lain-lain peralatan yang berkaitan.
“Setiap sekolah diperuntukkan sebanyak RM8,000 untuk pembelian peralatan ini dan peruntukan disalurkan kepada sekolah-sekolah melalui Pejabat Pendidikan Daerah masing- masing,” katanya.
Menurut Dr. Mohd. Arifin, bantuan ini akan diteruskan pada tahun hadapan untuk sekolah-sekolah yang belum menerima bantuan pada tahun ini.
Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Datuk Annuar Ayub (Liawan) yang bertanya apakah Kerajaan Negeri bercadang membantu sekolah-sekolah di Sabah dalam mewujudkan kelas dan kemudahan digital di sekolah mereka.
Dr. Mohd. Arifin berkata, pihak Advanced Business System Consultant Sdn Bhd (ABSC) telah menjalankan beberapa kelas ICT kepada murid-murid dan guru-guru sekolah atas permintaan pihak sekolah, terutama untuk subjek yang tidak diajar di sekolah tersebut.
Bagi tahun 2024, katanya, pihak ABSC telah menerima permintaan untuk menjalankan kelas ICT daripada 17 buah sekolah Menengah melibatkan penyertaan seramai 2990 orang.
“Daripada jumlah tersebut, 2257 orang adalah pelajar sekolah dan selebihnya adalah guru sekolah iaitu seramai 733 orang,” katanya.
Sementara itu, Dr. Mohd. Arifin yang juga EXCO Agama Negeri Sabah menerangkan tentang jumlah nilai wakaf terkumpul setakat bulan November 2024 di bawah seliaan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) selaku Pemegang Amanah Tunggal aset wakaf di Sabah.
“Bagi Aset Tetap, ia melibatkan tanah wakaf yang meliputi seluruh daerah di negeri Sabah dengan jumlah sebanyak 295 lot yang nilainya adalah nominal iaitu RM1 menjadikan keseluruhannya bernilai RM295.00.
“Bagi pemilikan hartanah sebanyak 4 lot kedai yang terletak di Bangunan T2 Apas, Tawau, hasil sumbangan wakaf Yayasan Infaq Angkasa mencatatkan nilai berjumlah RM2,784,281.00.
“Sementara dari segi pemilikan kenderaan pula melibatkan sebuah lori Klinik Bergerak Wakaf yang disumbangkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bernilai RM318,917.70,” katanya.
Tambah beliau, bagi Aset Semasa, kutipan sewaan bazaar yang dibina di atas tanah wakaf yang terletak di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Bazaar Masjid Daerah Sim-sim Sandakan dan Bazaar R&R Masjid Daerah Kinabatangan adalah sebanyak RM203,317.42 sehingga 31 Oktober 2024.
“Selain itu, kutipan sewaan tanah wakaf bagi tujuan pembinaan pencawang menara telekomunikasi di tanah wakaf turut memberikan hasil kepada kutipan wakaf iaitu sebanyak RM301,997.79.
“Secara keseluruhannya, pembinaan bazaar dan pencawang menara telekomunikasi di tanah wakaf memberikan sumbangan besar dalam pembangunan ummah, terutama dalam meningkatkan kesejahteraan sosial dan ekonomi masyarakat setempat di samping memberikan hasil kutipan wakaf yang sekali gus dapat membantu masyarakat yang memerlukan.
“Di samping itu, kutipan wakaf tunai yang diterima daripada orang awam juga menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan di mana jumlah terkumpul wakaf tunai setakat 31 Oktober 2024 adalah sebanyak RM615,377.10.
“Ini merangkumi Kutipan Wakaf Tunai AM sebanyak RM590,636.10 dan Kutipan Wakaf Tunai Khas RM27,741. Keseluruhan Nilai Terkumpul Aset Wakaf di bawah seliaan MUIS adalah berjumlah RM4,224,186.01,” katanya.
Dr. Mohd. Arifin berkata, setakat bulan Oktober 2024, jumlah pewakaf yang berwakaf secara tunai melalui potongan gaji ialah sebanyak 825 orang dengan jumlah potongan keseluruhan ialah sebanyak RM36,723.55 sebulan.
Katanya data yang direkod menunjukkan jumlah potongan minima yang dilaksanakan oleh pewakaf melalui potongan gaji ini ialah sebanyak RM5 sebulan manakala jumlah maksima pula ialah sebanyak RM1,000 sebulan.
Berdasarkan statistik kutipan wakaf tunai melalui potongan gaji pada tahun 2023, katnaya, data yang direkod adalah sebanyak 397 orang dengan jumlah RM16,805.07 sebulan.
“Manakala pada tahun 2024 pula, sebanyak 825 orang pewakaf telah direkod dengan jumlah RM36,723.55.
“Ini menunjukkan berlaku penambahan pewakaf baru sebanyak 428 orang dengan peningkatan kutipan berjumlah RM19,913.48 sebulan.
“Perbandingan tren peningkatan ini menunjukkan daripada tahun 2023 berbanding tahun 2024 ialah sebanyak 118.53 peratus,” katanya.
Dr. Mohd. Arifin menambah, antara insentif yang diterima oleh pewakaf melalui potongan gaji ini ialah mereka layak mendapat sehingga 10 peratus pengecualian cukai daripada pendapatan agregat berdasarkan subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Ini, katanya, adalah bagi wakaf yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) yang diberikan kepada Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) selaku ejen yang dilantik oleh Majlis sebagai ejen kutipan wakaf tunai melalui potongan gaji ini.
“Antara jabatan dan kementerian yang memperolehi jumlah pewakaf tertinggi melalui potongan gaji ialah daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan jumlah pewakaf yang direkodkan adalah sebanyak 587 orang merangkumi kakitangan KPM dan guru dengan jumlah potongan gaji kakitangan sebulan sebanyak RM26,910.
“Manakala Sabah Electricity Sdn.Bhd yang mewakili syarikat korporat memperolehi jumlah pewakaf kedua tertinggidengan jumlah yang direkodkan adalah sebanyak 41 orang (RM2,465.00 sebulan).
“Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pula mewakili badan berkanun negeri mencatatkan rekod jumlah pewakaf ketiga tertinggiiaitu sebanyak 35 orang dengan jumlah keseluruhan potongan wakaf sebanyak RM1,870 sebulan,” katanya.
Dr. Mohd. Arifin turut menjelaskan berkenaan jumlah penerima biasiswa Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS). bagi tahun 2024 ini dan subjek jurusan yang diberikan keutamaan oleh
“Jumlah penerima BKNS bagi tahun 2024 adalah 4,950 pelajar. Penajaan adalah dalam pelbagai bidang kursus pengajian antaranya adalah bidang kursus Pendidikan, Kejuruteraan & Teknologi, Sains Tulen, Sains Sosial, Perubatan, Sastera Ikhtisas, Teknologi Maklumat dan Sains Gunaan.
“Subjek jurusan yang diberi keutamaan untuk penajaan BKNS adalah terdiri daripada bidang STEM (Science, Technology, Engineering & Mathematic).
“Keutamaan kepada bidang ini merupakan salah satu inisiatif untuk membangunkan modal insan dan pemerkasaan bakat yang berkemahiran tinggi dalam bidang STEM,” jelas beliau.






























