Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kejayaan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang memfokuskan usaha peningkatan pembangunan modal insan, belia dan komuniti—khususnya dalam aspek pendidikan dan kebajikan—membuktikan beliau sebagai seorang pemimpin berkarisma yang patut dicontohi.
Exco Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Halizah Din berkata, pencapaian ini adalah satu kebanggaan yang perlu diteruskan dan ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Tidak salah jika beliau (Hajiji) digelar Bapa Pembangunan Modal Insan. Beliau melaksanakan janjinya secara berperingkat dan tersusun. Dengan pengumuman Belanjawan Sabah 2025 baru-baru ini, saya yakin beliau akan terus bekerja keras demi rakyat tanpa mengira usia, kaum, bangsa, agama dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Halizah Din
Halizah berkata, walaupun banyak lagi aspek perlu diperbaiki untuk menjadikan Sabah seiring dengan negeri-negeri lain, usaha berterusan kerajaan negeri harus dipuji dan dicontohi.
Belanjawan 2025 Fokus Pendidikan dan Kebajikan
Halizah juga menekankan manfaat yang dinikmati rakyat Sabah melalui Belanjawan 2025, termasuk:
Program Pendidikan:
· Biasiswa, dermasiswa, dan bantuan pelajar negeri bernilai RM127 juta.
· Sumbangan Mahasiswa Pendidikan Tinggi dalam Sabah (SENTOSA): RM300 seorang.
· Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (BUDI): RM2,000 (Ijazah) dan RM1,500 (Diploma/Matrikulasi) secara one-off.
· Subsidi tiket penerbangan (Graduan Rindu Sabah – SUBFLY): RM600 untuk pelajar di Semenanjung, Sarawak, dan Labuan.
Bantuan Persekolahan:
· Sumbangan Kegiatan Sekolah (SUKSES): RM3,000 untuk 1,500 sekolah.
· Program bantuan persekolahan bernilai RM26.06 juta untuk 291,275 pelajar.
· Bantuan lain seperti Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI), dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA).
Memperkasakan Wanita Sabah
Halizah turut memuji keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap usaha memperkasa kaum wanita melalui peruntukan khas:
· RM9.73 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) untuk program kesedaran isu perkahwinan awal, pembangunan keusahawanan wanita, dan geran untuk 186 NGO.
· RM11.6 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) bagi program kredit mikro dan sokongan kepada peniaga IKS wanita.
· Projek Keusahawanan Wanita Muda untuk menyediakan pinjaman mikro kepada usahawan muda wanita dengan kadar faedah rendah.
Penekanan Terhadap Pendidikan dan Ekonomi
Halizah menegaskan bahawa pendidikan adalah elemen utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya bagi melahirkan generasi kompeten dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
“Melalui pendidikan berkualiti, kita mampu memberi masa depan lebih cerah kepada pelajar, meningkatkan kebolehpasaran graduan, dan mengeluarkan keluarga daripada kitaran kemiskinan. Kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor adalah teladan terbaik untuk memajukan Sabah ke arah kejayaan,” jelasnya.


































