Masidi (kiri) bersama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri lewat menerima senarai projek yang telah diluluskan di peringkat Persekutuan merupakan antara isu menyebabkan dana pembangunan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan tidak dapat dibelanjakan sepenuhnya.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, selain itu, ia juga disebabkan oleh kurang koordinasi di antara agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Jabatan
Teknik dan peruntukan yang diluluskan dan tersedia tidak realistik dan terlalu tinggi sehingga tidak dapat dibelanjakan.
“Kerajaan Negeri tidak dilibatkan lebih awal oleh Kementerian dan Jabatan Persekutuan dalam proses pemilihan projek atau tapak yang sesuai,
dan Jabatan Teknik tidak dimaklumkan oleh Kerajaan Persekutuan lebih awal dilantik sebagai pelaksana projek yang diluluskan,” katanya semasa menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.
Menjawab isu yang dibangkitkan oleh Datuk Rubin Balang (Kemabong) dan Datuk Suhaimi Nasir (ADUN Dilantik), Masidi berkata,
peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan yang diperuntukkan kepada Negeri Sabah adalah untuk Kementerian dan Agensi Persekutuan yang melaksanakan projek pembangunan di Sabah.
“Hanya sebahagian kecil sahaja daripada peruntukan tersebut disalurkan terus kepada Agensi Kerajaan Negeri dan dipantau oleh Kementerian Persekutuan.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri tidak mempunyai kawalan dalam pengurusan dan pembahagian peruntukan tersebut.
“Walau bagaimanapun, prestasi kemajuan projek-projek ini dipantau melalui Majlis Tindakan Pembangunan Negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah dan diurusetiakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO).”
Masidi berkata, maklumat berkenaan peruntukan Persekutuan 2024 adalah seperti yang berikut:
Peruntukan Asal: RM6.67 bilion
Peruntukan Disemak: RM5.063 bilion
Bilangan Projek: 1,241 projek
Projek Baharu: RM2.218 bilion (43.81%)
Projek Sambungan: RM2.845 bilion (56.19%)
“Perlaksanaan projek ini adalah di bawah kawalan 22 buah Kementerian Persekutuan contohnya Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan lain-lain.
“Setakat 7 Oktober 2024, prestasi perbelanjaan atau peruntukan yang telah disalurkan telah mencapai 53.97 peratus
ataupun RM2.732 bilion.
“Sebagai makluman, penyaluran peruntukan secara langsung dan juga pinjaman adalah mengikut kemajuan prestasi pelaksanaan projek.”
Menurut Masidi, perancangan Kerajaan Negeri untuk meletakkan peruntukan Persekutuan yang tidak habis diguna ke dalam Tabung Amanah Khas telah ditolak oleh Kerajaan Persekutuan kerana peruntukan tersebut merupakan pinjaman daripada institusi tertentu untuk membiayai program dan projek pembangunan di Sabah.
“Peruntukan ini hanya akan dikeluarkan berpandukan prestasi pelaksanaan program dan projek yang telah dikenal pasti bagi sesuatu tahun kewangan.
“Walau bagaimanapun, bagi menambah baik prestasi perbelanjaan peruntukan persekutuan tersebut, Kerajaan Negeri akan memohon untuk dilibatkan dari peringkat awal perancangan dan penetapan projek.
“Selain itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan agar sejumlah peruntukan pendahuluan untuk kerja-kerja awalan dapat disalurkan lebih awal.
“Walau bagaimanapun, Majlis Tindakan Pembangunan Negeri telah bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa penyelarasan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memperbaiki prestasi pelaksanaan projek-projek yang mengalami masalah dan membolehkan peruntukan yang diluluskan dapat digunakan,” katanya.
Terdahulu, Masidi berkata, walaupun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi
yang kompleks, termasuk ketidaktentuan dalam pertukaran mata wang asing, situasi ini terus menguji ketahanan dan keupayaan Kerajaan serta pelbagai pihak berkepentingan untuk mengekalkan kestabilan ekonomi.
Katanya, cabaran ini memberi impak kepada perancangan kewangan dan pengurusan sumber dalam memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan dengan mampan.
“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa pungutan hasil setakat 20 November 2024 telahpun mencapai RM5.93 bilion iaitu 87.6 peratus daripada Anggaran Hasil Disemak dan telah menembusi Anggaran Asal 2024.
“Walaupun pungutan ini tidak seperti prestasi tahun sebelumnya ekoran faktor-faktor yang saya nyatakan tadi, kedudukan kewangan Sabah kekal kukuh dengan mencatatkan lebihan kewangan sebanyak RM624.60 juta.
“Ini mencerminkan pengurusan kewangan yang berhemah dan berkesan dalam mengimbangi hasil negeri dengan perbelanjaan. Lebihan ini juga menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan sumber kewangan diurus secara strategik untuk memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Namun begitu, Kerajaan Negeri tidak akan alpa atau merasa selesa dengan kedudukan ini, sebaliknya bertekad untuk terus melangkah dengan iltizam yang tinggi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi memperkukuhkan kewangan negeri ke tahap yang lebih gemilang,” tegasnya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga sekali lagi telah berjaya mengekalkan taraf Sijil Tanpa Teguran (STT) bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri tahun 2023.
“Apa yang membanggakan, buat pertama kalinya tahun ini Sijil Tanpa Teguran (STT) dianugerahkan tanpa sebarang syarat atau komen penambahbaikan daripada Ketua Audit Negara Malaysia.
“Kejayaan ini mengukuhkan lagi reputasi
Sabah sebagai negeri yang cemerlang dalam pengurusan kewangan. Suka saya maklumkan hanya lima negeri sahaja mencapai taraf prestasi ini.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan integriti, ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan kewangan negeri,” ujarnya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam dan setiap pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung atas kesungguhan dan dedikasi yang telah diberikan sehingga Sabah berjaya mencapai prestasi kewangan
yang cemerlang ini.


































