Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk membatalkan Perjanjian Lesen Sabah Forest Industries (SFI) bermula 1 September 2021 atas dasar kepentingan awam kerana syarikat SFI yang dibeli oleh Ballarpur Industries telah diisytiharkan muflis dan tidak lagi
mengusahakan kawasan lesen tersebut.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, atas dasar kepentingan awam juga, geran-geran tanah SFI yang
berkeluasan 12,348.8 hektar telah diambil balik (acquired) dan diberi hak milik kepada Kumpulan Yayasan Sabah.
Manakala, seluas 238,563 hektar kawasan konsesi SFI telah dilesenkan semula kepada tiga pelesen Sustainable Forest
Management Lisence Agreement (SFMLA) di mana Kerajaan Negeri mempunyai kepentingan ekuiti 15 peratus melalui Chief Minister Incorporated (CMI) dan Yayasan Sabah.
“Skim Penggunaan, Pemprosesan, Pengurusan, Penyelidikan dan Pembangunan Pemuliharaan Kayu Hutan
Lestari Daerah Sipitang adalah nama bagi skim tujuan awam di mana tanah-tanah bekas SFI telah diperolehi oleh Kerajaan
Negeri Sabah,” katanya semasa menggulung untuk Jabatan Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.
Beliau menjawab isu yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Mohd. Shafue Apdal (Senallang)
Mengenai status kayu tanaman akasia dalam kawasan SFI tersebut (tanah bergeran), Hajiji berkata, kebenaran membalak telah diberikan kepada pihak Yayasan Sabah bagi membolehkan kayu-kayu akasia yang ditanam di kawasan geran tanah tersebut dibalak, berikutan terdapat kes jangkitan kulat yang menyerang pokok tanaman di kawasan tersebut.
“Proses penuaian pokok perlu disegerakan untuk mengeluarkan pokok-pokok tanaman yang dijangkiti kulat tersebut bagi membolehkan penanaman pokok baharu dijalankan.
“Penyakit kulat yang menyerang pokok tanaman akasia ini memerlukan
penuaian segera bagi mengelakkan penyebaran jangkitan ke kawasan yang lain.
“Setakat 3 November 2024, pembalakan
telah dilaksanakan di kawasan seluas lebih kurang 1,921.33 hektar dan pihak Yayasan Sabah akan menjalankan penanaman semula di kawasan tersebut dengan kos penanaman lebih kurang RM12,000 sehektar.”


































