Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) dan Majlis Hal Ehwal Anan Negeri Sabah (MHEANS) sedang merangka kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS), serta institut pengajian tinggi yang lain.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, ini adalah untuk meneroka potensi Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) sebagai pusat latihan dan pengajian akademik dalam bidang undang-undang adat anak negeri.
Beliau memaklumkan ini semasa menggulung untuk KKTP pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, sebagai respons kepada saranan dibuat oleh Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Mengenai harapan Ewon agar sebuah Mahkamah Anak Negeri (MAN) dapat dibina di Kota Belud dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Dr. Joachim berkata, cadangan projek MAN Kota Belud telahpun disenaraikan dalam cadangan projek Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah di bawah RMK13 (biayaan Persekutuan).
Walau bagamanapun, katanya, ia tertakluk kepada kelulusan dan ketersediaan kewangan yang mencukupi kelak.
Mengenai keperluan melantik lebih banyak Jawatankuasa Keselamatan Dalam Bandar (JKDB) di DUN Kukusan yang disuarakan oleh Rina Jainal (Kukusan), beliau berkata, KKTP telah menerima permohonan penubuhan tiga kawasan JKDB di kawasan DUN Kukusan daripada Majlis Perbandaran Tawau.
“Walau bagaimanapun, pihak Kementerian telah meminta agar senarai tersebut dikemas kini dan akan diambil tindakan segera selepas maklumat terkini telah dikemas kini.”
Menjawab pertanyaan Jannie Lasimbang (Kapayan) mengenai pindaan Enakmen Mahkamah Anak Negeri untuk menghentikan perkahwinan bawah umur di kalangan Anak Negeri, Dr. Joachim berkata, pada masa ini pindaan terhadap Kaedah Enakmen Mahkamah Anak Negeri (Undang-Undang Adat Anak Negeri) 1995 telah disediakan oleh jawatankuasa di bawah Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS).
Proses penyediaan ini melibatkan kerjasama erat dengan pemegang taruh yang relevan dan Kertas Kabinet yang telah disediakan akan dibentangkan di Kabinet dalam masa yang terdekat, tambahnya.
“JHEANS melalui ILMAN akan merangka dan mewujudkan latihan khusus berkaitan impak dan kesan perkahwinan bawah umur dalam kalangan Anak Negeri dengan penglibatan ketua-ketua adat sesudah pindaan ini dikuatkuasakan.
“Selain itu, untuk memperbaiki prestasi kakitangan MAN, sejumlah RM760,000 daripada jumlah keseluruhan peruntukan yang diterima oleh JHEANS iaitu RM80.19 juta, digunakan untuk latihan dan pembangunan modal insan melibatkan kakitangan MAN.
“Berkenaan dengan usaha mewujudkan Jabatan Kehakiman Anak Negeri, ianya akan melibatkan penggubalan dan pengenalan enakmen baharu dan pindaan ke atas beberapa enakmen sedia ada khususnya berkaitan dengan MAN Sabah. Proses ini telah bermula dan akan berterusan, tetapi akan mengambil sedikit masa sehingga penggubalan dan pengenalan enakmen baharu telah selesai.”
Mengenai permintaan Jamil Hamzah (Bugaya) agar status setinggan bagi Kg. Bangau-Bangau Semporna ditarik balik, Dr. Joachim berkata, koloni Bangau-Bangau ini merupakan kawasan setinggan kerana kawasan yang diduduki merupakan State Land yang termasuk dalam perancangan pembangunan daerah.
“Kawasan tersebut telah dizonkan sebagai Commercial Area dalam Deraf Pelan Tempatan Daerah Semporna. Perancangan di peringkat daerah terhadap penduduk tempatan di kawasan tersebut adalah dengan memindahkan mereka ke kawasan terancang bagi penempatan semula penduduk iaitu di kawasan Tinagayan, Semporna.”
Mengenai status perobohan perkampungan atas air di Semporna, beliau berkata, penduduk di situ sememangnya dirancang untuk dipindahkan dan ditempatkan semula ke kawasan yang telah diwartakan iaitu kawasan Tinagayan dan Melanta Tutup.
Katanya, beberapa aspek penting diambil kira bagi perancangan memindahkan penduduk tempatan di perairan Semporna ini:
i. Perancangan pihak Kerajaan bagi membangunkan State Land yang berpotensi tinggi menyumbang kepada peningkatan ekonomi setempat.
ii. Risiko keselamatan di kawasan perairan.
iii. Kebersihan persekitaran – kebanyakkan sampah dan sisa buangan domestik yang hanyut di perairan adalah daripada kawasan setinggan di atas air ini.
Beliau berkata, seperti yang dijanjikan, beliau sendiri telah mengadakan lawatan kerja ke Daerah Semporna pada 12-13 November lepas.
Menjawab pertanyaan Jamil mengenai status permohonan lapan orang mangsa ribut untuk ditempatkan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kg. Bubul Ria, beliau berkata, perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Konsultatif peringkat Kementerian.
“Pihak Majlis Daerah Semporna telah menyenaraikan 10 Ketua Isi rumah (KIR) yang terkesan akibat bencana alam dan yang berminat untuk memohon rumah PPR di Bubul Ria. Pihak Majlis juga telah membuat semakan terhadap senarai KIR untuk tapisan syarat kelayakan yang telah ditetapkan. Untuk makluman, pemohon rumah PPR adalah dipilih melalui syarat-syarat kelayakan iaitu warganegara Malaysia; berumur 18 tahun ke atas; pendapatan isi rumah bawah RM3,000 sebulan; dan pemohon belum memiliki rumah.
“Setelah semakan dan tapisan dibuat, hanya empat daripada 10 KIR yang disenaraikan melepasi syarat permohonan dan telah diberikan surat tawaran penyewaan di PPR Bubul Ria, Semporna. Manakala baki enam KIR lagi tidak layak disebabkan status pasangan bukan warganegara dan tidak mengemukakan dokumen yang lengkap.”
Mengenai permintaan Datuk Hassan A Gani Pg. Amir (Sebatik) yang meminta pertimbangan dibuat untuk mewujudkan Majlis Daerah Kalabakan, Dr. Joachim berkata, KKTP telah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Daerah Kalabakan mengenai cadangan pewujudan Majlis Daerah Kalabakan.
“Pihak kementerian pada masa ini sedang meneliti kriteria dan kemampuan daerah Kalabakan untuk mewujudkan Majlis Daerah Kalabakan. Kementerian saya bersedia untuk mempertimbangkan cadangan pewujudan Majlis Daerah Kalabakan berdasarkan Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bil. 4 Tahun 2008.
“Untuk makluman, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Persekutuan telah meminta agar Kerajaan Negeri menangguhkan sebarang permohonan untuk pewujudan dan naik taraf Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) buat masa ini. Ini adalah kerana pihak KPKT dalam proses memperhalusi pindaan-pindaan kepada kriteria pewujudan dan naik taraf PBT dan diseragamkan di seluruh negara. Oleh yang demikian, ketetapan yang akan diambil mengenai cadangan pewujudan Majlis Daerah Kalabakan kelak akan berpandukan kepada kriteria-kriteria baharu tersebut.”
Mengenai gesaan Assaffal P. Alian (Tungku) kepada Kerajaan Negeri untuk membantu menyelesaikan masalah pembeli rumah Projek Semi-D, Perumahan Khazanah Indah (SPNB) di mana rumah belum siap walaupun ada di kalangan pembeli telah hampir menyelesaikan pembayaran rumah tersebut, Dr. Joachim berkata, KKTP telah membuat pemeriksaan ke atas tapak projek perumahan Khazanah Indah pada bulan Oktober tahun ini.
“Berdasarkan kepada laporan Pemeriksaan, didapati pemaju perumahan telah pun menghentikan kerja kerja pembinaan di tapak projek. Kementerian sedang dalam proses mengisytiharkan projek perumahan ini sebagai projek terbengkalai. Pengisytiharaan dijangka akan dibuat dalam bulan Disember tahun ini.
“Kementerian juga akan memulakan proses mencari kontraktor penyelamat ataupun White-Knight untuk memulih dan menyiapkan projek ini selepas ianya diisytiharkan sebagai projek perumahan terbengkalai.”
Berkenaan cadangan “representative meritocracy” oleh Datuk Seri Salleh Said Keruak (Usukan), beliau berkata, KKTP menyambut baik cadangan ini sebagai sesuatu yang wajar dan mempunyai meritnya sendiri.
“Untuk pelantikan Ahli-ahli Majlis pihak berkuasa tempatan, saranan ini dapat digunakan sebagai garis panduan umum dan dijadikan sebagai salah satu kriteria pemilihan dan pelantikan. Sebagai rumusan, cadangan ini wajar dipertimbangkan sebagai panduan yang dapat mengukuhkan prinsip inklusiviti dan memastikan penyertaan segenap lapisan masyarakat lokal dalam hal ehwal pihak berkuasa tempatan.”
Menjawab pertanyaan Juil Nuatim (Limbahau) dan makluman Dewan yang mulia ini, tidak ada perancangan setakat ini untuk membuka bandar baharu di kawasan DUN N.27 Limbahau. Walaubagaimanapun, pihak
Dr. Joachim berkata, KKTP mengambil perhatian sewajarnya ke atas cadangan Datuk Juil Nuatim (Limbahau) untuk membuka bandar baharu di DUN Limbahau dan akan mengarahkan jabatan-jabatan teknikal seperti Jabatan Perancang Bandar Dan Wilayah (JPBW) untuk mengkaji keperluan bagi mewujudkan bandar baharu di kawasan berkenaan.
Deraf pelan bandar baharu akan disediakan setelah kajian ini selesai kelak, tambahnya.
Isu Triconic Condominium
Mengenai kedudukan jaminan wang (Bank Guarantee) bagi projek rumah terbengkalai di Penampang iaitu Triconic Condominium, Dr. Joachim menjelaskan bahawa sebenarnya pemaju perumahan Triconic Condominium tidak pernah mendepositkan wang tunai berjumlah RM17 juta dengan KKTP.
“Sebaliknya pemaju perumahan telah mengemukakan jaminan bank (Bank Guarantee) daripada MBSB Bank yang berjumlah RM16 juta kepada Pengawal Perumahan bagi tempoh 22 November 2919 hingga 21 November 2020.
“Jaminan bank tersebut adalah berdasarkan cagaran ke atas tanah yang telah dicagarkan oleh Pemaju Perumahan dan merupakan jaminan daripada MBSB Bank untuk membayar wang berjumlah RM16 juta jika dituntut oleh Pengawal Perumahan. Pengawal Perumahan boleh membuat tuntutan ke atas Jaminan Bank sekiranya pemaju perumahan gagal menyiapkan projek perumahan.
“Dalam kes ini, pihak Pengawal Perumahan KKTP telah mengeluarkan surat untuk menuntut jaminan bank ini pada 22 Disember 2020, namun pihak MBSB Bank telah menolak tuntutan ini pada 7 Januari 2021 disebabkan tarikh surat tuntutan tersebut telah melebihi tempoh tuntutan yang ditetapkan dalam terma jaminan bank.
“Dalam hal ini, masalahnya ialah keenganan MBSB Bank untuk menunaikan tuntutan Pengawal Perumahan untuk jaminan bank tersebut, serta ketidakupayaan pemaju perumahan untuk mengemukakan jaminan bank yang baharu. KKTP telah merujukkan perkara ini kepada pihak Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan pihak JPBN telah mengemukakan pandangan Jabatan itu.
“Walaupun demikian, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) telah mengeluarkan surat tuntutan kepada Pemaju Perumahan tersebut untuk mengemukakan Jaminan Bank yang baharu, selaras dengan kewajipan pemaju perumahan yang telah ditetapkan di bawah Enakmen Perumahan (Kawalan dan Pelesenan Pemaju-Pemaju) 1978.
“Selain itu, Pengawal Perumahan telah mengadakan mesyuarat di antara pemaju perumahan dan pihak pembeli pada 18 Oktober 2024 di mana pemaju perumahan tersebut telah menawarkan untuk membayar balik semua wang yang telah dibayar oleh para pembeli berdasarkan Perjanjian Jual dan Beli, dengan tambahan faedah 8% bermula dari tarikh Perjanjian Jual dan Beli. Dalam mesyuarat itu, pemaju perumahan tersebut menawarkan kaedah ini kepada kesemua 252 orang pembeli terlibat. Namun begitu, sehingga kini, pemaju perumahan tersebut masih belum mengemukakan surat tawaran rasmi kepada setiap pembeli.”
Sebagai makluman lanjut, beliau berkata, pihak MBSB telah melantik Liquidator dan sedang dalam proses mencari kontraktor penyelamat, juga dikenali sebagai “white knight” untuk memulihkan projek ini.
“Sebagai langkah penambahbaikan, dan untuk mengelakkan perkara seperti ini daripada berulang, kementerian sedang dalam proses untuk membuat pindaan pada Enakmen Perumahan (Kawalan dan Pelesenan Pemaju-Pemaju), 1978 untuk menambah baik enakmen sedia ada.
“Kementerian juga telah menyediakan draf SOP pengurusan jaminan bank. Usaha mendigitalkan pengurusan jaminan bank juga dalam proses penyediaan. Proses pendigitalan ini termasuk kaedah pemantauan tarikh tamat tempoh jaminan bank.
“Kementerian turut mengambil langkah untuk mengadakan perbincangan dengan pihak bank menerima pakai cadangan meletakkan syarat pembaharuan jaminan bank secara automatik sebelum tamat tempoh.”
KKTP diperuntukkan sebanyak RM247.01 juta dalam Belanjawan 2025, iaitu RM227.69 juta peruntukan perbekalan dan RM19.32 juta peruntukan pembangunan.
Dr. Joachim berkata, KKTP komited melaksanakan dasar perbelanjaan berhemat dan mengelak pembaziran dalam setiap pengurusan dan pentadbiran Kementerian dan juga kesemua jabatan, agensi dan 25 pihak berkuasa tempatan yang ada.
Katanya, Kementerian masih meneruskan usaha meningkatkan kecekapan Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi di bawah KKTP.
Antara program yang telah dan akan dilaksanakan adalah:
i. Program Kembara Menteri sebagai satu platform mendekati dan meningkatkan mutu perkhidmatan PBT diteruskan pada tahun 2025. Program ini memberikan impak positif dengan mendekati kesemua PBT;
ii. Pendigitalan Pihak Berkuasa Tempatan yang mana sebanyak 13 PBT akan terlibat melaksanakan ePBT;
iii. Program pembangunan landskap dan I-Hijau;
iv. Pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan Pengurusan Sisa Pepejal di kawasan PBT;
v. Perancangan dan pembangunan bandar-bandar / pekan-pekan baru;
vi. Perancangan dan pembangunan perumahan fokus kepada Rumah Kos Rendah, Rumah Mampu Milik dan PPR;
vii. Perancangan Guna Tanah dan penyediaan Pelan Tempatan;
viii. Pemerkasaan Komuniti di PBT dan PPR dengan pelaksanaan Program Komuniti PPR Madani: Selamat dan Sejahtera. Ia adalah kerjasama antara KKTP, PBT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM);
ix. Pemantapan dan pengukuhan pentadbiran dan pengurusan Mahkamah Anak Negeri;
x. Tindakan mencapai Sustainable Development Goals (SDGs) dengan penyediaan SDGs Road Map di Pihak Berkuasa Tempatan dan bandar mampan;
xi. Pemantapan Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan;
xii. Pencapaian sekurang-kurangnya 3 Bintang ke Atas STAR RATING Pihak Berkuasa Tempatan;
xiii. Pemantapan Peranan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) di Negeri Sabah dan program-program lain yang akan diteruskan.

































