Isnin Aliasnih
KOTA KINABALU: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) tidak bercadang untuk membina tapak tamu kekal dan berbumbung di Pekan Muhibbah Rancangan Sungai Manila Batu 12 Sandakan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata, ini disebabkan telah ada pembangunan iaitu Arked Pekan Muhibah di kawasan tersebut yang telah dibangunkan oleh pihak SEDCOVESTdan MPS membantu dari segi pengurusan pengisian lot-lot gerai.
Melalui usaha sama ini, katanya, SEDCOVEST telah membangunkan 73 lot premis dan terdapat juga kemudahan lain seperti tempat letak kereta, rumah sampah dan tandas awam.
“Walau bagaimanapun sekiranya ada keperluan atau keupayaan, pihak MPS akan mempertimbangkan cadangan daripada Ahli Yang Berhormat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Datuk Suhaimi Nasir (ADUN Dilantik) yang bertanya adakah Kerajaan mempunyai cadangan untuk membina tapak tamu kekal dan berbumbung di Pekan Muhibbah Rancangan Sungai Manila Batu 12 Sandakan.


































