Ellron Angin
KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBBS) akan meneruskan program Felo SMJ dan Dewan Belia Sabah yang telah berjaya memberi pendedahan kepada anak-anak muda mengenai dasar-dasar kerajaan dan kesedaran mengenai literasi politik Undi 18 tahun.
Menterinya, Datuk Ellron Angin berkata, KBBS juga meneruskan program pembangunan modal insan belia dengan melaksanakan aktiviti seperti kepimpinan, sukarelawan, pendidikan, sosial, jati diri, integrasi belia dan perkongsian data belia.
“Bagi menjayakan program ini, Kementerian saya akan bekerjasama dengan Kementerian-kementerian dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan seperti Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan, Majlis Belia Sabah dan beberapa rakan strategik iaitu Jabatan Pendidikan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan sebagainya,” katanya ketika menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Neveri (DUN) Sabah hari ini.
Ellron berkata, KBBS juga meneruskan pemberian geran kepada kelab belia akar umbi yang berdaftar dengan pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (eROY).
Katanya, geran dan bantuan ini akan membolehkan kelab belia mengadakan aktiviti tahunan mereka supaya kelab mereka kekal aktif.
“Pemberian geran dan bantuan kewangan ini adalah di bawah Program Hak Upaya Pengurusan Kelab Belia,” jelasnya.
Beliau berkata, Kementeriannya akan memastikan persatuan, kelab dan badan-badan belia yang terdapat di Sabah akan melaksanakan program-program yang boleh mempertingkatkan sahsiah dan
ekonomi para belia Sabah.
Walau bagaimanapun katanya, dalam usaha membangunkan belia Sabah ianya melibatkan penyertaan semua pihak sama ada daripada pihak Kerajaan mahupun badan-badan bukan Kerajaan.
“Pada masa ini, Majlis Belia Sabah (MBS) merupakan platform kepada persatuan, kelab dan badan-badan belia untuk berinteraksi, berunding dan sebagainya.”
KBBS diperuntukkan sebanyak RM90.17 juta Perbekalan dan RM11.29 juta Pembangunan dalam Belanjawan 2025 Sabah yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun Jumaat lalu.
Ellron berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM23 juta akan diperuntukkan kepada Lembaga Sukan Sabah di samping RM24.69 juta untuk penyelenggaraan dan pembaikan pejabat, kelab-kelab belia, asrama dan kompleks-kompleks sukan.
RM10.05 juta adalah untuk pemberian persatuan sukan, RM16.75 juta untuk melaksanakan program-program pembangunan modal insan belia dan RM27.21 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan kemajuan sukan prestasi tinggi dan para atlet.
































