Masidi (kiri) bersama Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (kanan), Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim (tengah) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif (dua dari kanan) selepas pembentangan Belanjawan 2025 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) petang kelmarin.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian bantuan kepada institusi pendidikan, para pelajar termasuk memperkenalkan beberapa bantuan baharu bagi menyantuni anak-anak Sabah yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara bantuan tersebut ialah RM127 juta untuk program Biasiswa, Dermasiswa dan Bantuan Pelajar Negeri kepada seramai 7,130 pelajar aktif di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara serta menyasarkan penambahan penajaan kepada 3,000 pelajar baharu.
“Kedua, sumbangan kepada Mahasiswa IPT Dalam Sabah (SENTOSA) secara one-off sebanyak RM300 seorang. Bantuan ini adalah yang pertama kali diperkenalkan pada tahun hadapan;
“Ketiga, Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) secara one-off berjumlah RM2,000 kepada setiap pelajar yang menyambung pengajian di peringkat Ijazah, manakala RM1,500 kepada pelajar di peringkat diploma dan matrikulasi.
“Keempat, Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan atau Graduan Rindu Sabah SUBFLY sebanyak RM600 kepada setiap pelajar IPT Sabah yang belajar di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan; dan kelima, Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah secara one-off sebanyak RM3,000 kepada 1,500 buah sekolah di Sabah untuk tujuan membiayai program sekolah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.
Selain daripada itu, kata Masidi, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pemberian bantuan yang lain seperti Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM26.4 juta.
“Kerajaan Sabah komited dan sentiasa mengamalkan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini.
“Dalam masa yang sama, pembangunan kerohanian amat penting bagi melahirkan modal insan yang berakhlak mulia serta berkeperibadian tinggi.
“Oleh itu, pada tahun hadapan, sebanyak RM140.34 juta diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah untuk perbelanjaan operasi dan pelaksanaan pelbagai program pembangunan dan operasi sekolah agama Islam dan masjid serta program-program kerohanian Islam.
“Manakala, sebanyak RM70 juta iaitu dengan kenaikan sebanyak RM13.25 juta diperuntukkan bagi pemberian bantuan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah-sekolah mubaligh dan persendirian di seluruh Sabah. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban kewangan pihak sekolah dan badan-badan keagamaan yang terlibat dalam usaha memastikan fasiliti sentiasa berada dalam keadaan kondusif, selamat dan selesa.”
Sebanyak RM48.57 juta diperuntukkan kepada Perpustakaan Negeri Sabah untuk operasi dan pembangunan perpustakaan termasuk meneruskan pembinaan Perpustakaan Cawangan di Tenom, Kunak dan Kota Marudu; penggantian bangunan Perpustakaan Desa di Kg. Karakit Banggi, Kg. Entilibon Tongod, Kg. Larapan Hujung Semporna, dan Kg. Lubok Darat Sipitang; serta penggantian bas perpustakaan bergerak di Semporna, Beaufort dan Kudat.
Masidi berkata, selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM28.53 juta untuk operasi dan pelaksanaan pelbagai program, latihan dan kursus kemahiran di Jabatan Pembangunan Sumber Manusia seperti program berkonsepkan train and place dalam industri utama, program pembangunan keusahawanan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), program latihan rentas komuniti dan program khas kerjasama dengan rakan strategik.
“RM41.75 juta akan diperuntukkan kepada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Sabah Skills and Training Centre (SSTC) dan Sabah Creative Economy and Innovation Center bagi melaksanakan kursus penguasaan bahasa, latihan kemahiran sains, teknologi dan inovasi. Selain itu, agenda pemerkasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui penganjuran pelbagai program antaranya Kembara Sains Borneo; Karnival Sains Sabah; Pertandingan Teknologi dan Inovasi (Malaysia Techlympic); Festival Pendidikan STEM; Pendidikan serta Latihan TVET; Program Roboneo dan Sabah Screen Fest akan diteruskan.
“Kerajaan Negeri menyediakan tajaan biasiswa melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah untuk membantu pelajar yang mengikut kursus TVET di IPT dalam dan luar negara. Setakat ini, seramai 1,375 pelajar telah menerima tajaan Biasiswa tersebut.”
Beliau berkata, satu kajian kemungkinan akan dibuat bagi Pembangunan Pusat Data Geospatial Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Sabah yang bertujuan untuk mengkaji dan mengenal pasti keperluan penyelidikan dan pembangunan di bawah domain STI akan dilaksanakan pada tahun 2025.
Dalam usaha meningkatkan capaian liputan internet di seluruh negeri, Kerajaan Negeri merancang untuk memasang kemudahan internet teknologi Starlink di 300 lokasi di seluruh Sabah yang masih belum mendapat liputan internet.
“Agensi Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menambah menara baharu, menaik taraf stesen pemancar sedia ada dan juga menaik taraf Pusat Internet Desa. Untuk makluman, capaian internet liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sabah setakat ini telah mencapai 91.18 peratus, manakala 68.9 peratus telah menikmati liputan 5G.”






























