Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor (tiga dari kiri) mengucapkan tahniah kepada Masidi selepas selesai membentangkan Belanjawan Sabah 2025, sambil diperhatikan oleh Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan yang lain.
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM3,000 kepada semua anggota Perkhidmatan Awam Negeri Sabah termasuklah yang berstatus Kontrak, Vot Terbuka dan Pekerja Sambilan Harian.
Katanya, bayaran Bantuan Khas Kewangan ini yang melibatkan seramai 18,949 orang dengan implikasi kewangan sebanyak RM68.48 juta akan dibayar pada bulan Januari 2025.
Beliau membuat pengumuman tersebut semasa membentangkan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.


































