MANILA: Filipina mengarahkan penduduk berpindah menjelang ketibaan Taufan Usagi, ketika pejabat bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memohon bantuan AS$32.9 juta (RM146.58 juta) untuk negara itu selepas ribut baru-baru ini mengorbankan lebih 150 orang.
Menurut Utusan Malaysia, perkhidmatan cuaca negara berkata, Taufan Usagi merupakan ribut besar kelima melanda kepulauan itu dalam tempoh tiga minggu dan dijangka mendarat di wilayah Cagayan di hujung timur laut Pulau Luzon.
Ketua Pertahanan Awam Wilayah, Rueli Rapsing berkata, semua datuk bandar sudah diarahkan untuk memindahkan penduduk di kawasan terdedah, secara paksa jika perlu ketika taufan 120 kilometer sejam melanda negara itu.
“Di bawah protokol kecemasan, semua datuk bandar mesti melaksanakan pemindahan paksa, terutama bagi kawasan yang terdedah,” katanya.
Menurut beliau, seramai 40,000 orang di wilayah itu tinggal di kawasan yang terdedah kepada bahaya.
Peramal cuaca negeri, Christopher Perez memberitahu, kawasan itu dijangka dibasahi hujan lebat yang boleh mencetuskan banjir dan tanah runtuh ketika banyak dataran masih lembap akibat bencana serupa baru-baru ini.
Beliau menggesa penduduk kawasan pantai bergerak ke pedalaman berikutan ancaman gelombang ribut dan ombak gergasi melebihi tiga meter dengan perkapalan turut berdepan bahaya ombak besar sekitar lapan hingga 10 meter.
Ribut tropika keenam, Man-yi, dijangka menjadi taufan sebelum melanda tengah negara seawal Jumaat, kata Perez.
Dengan lebih 700,000 orang terpaksa keluar dari rumah mereka, ribut berturut-turut menjejaskan sumber kerajaan dan isi rumah tempatan.
Menurut PBB, kira-kira 210,000 daripada mereka yang paling terjejas akibat banjir baru-baru ini memerlukan sokongan untuk usaha menyelamatkan nyawa dan perlindungan kritikal dalam tempoh tiga bulan akan datang.
“Taufan datang silih berganti. Sebaik sahaja masyarakat cuba pulih daripada kejutan bencana, ribut tropika seterusnya sudah melanda mereka sekali lagi.
“Dalam konteks ini, kapasiti tindak balas dan belanjawan akan habis,” kata Penyelaras Penduduk dan Kemanusiaan PBB, Gustavo Gonzalez.
Lebih 28,000 orang yang kehilangan tempat tinggal akibat ribut baru-baru ini masih tinggal di pusat pemindahan yang dikendalikan oleh kerajaan tempatan, kata pejabat pertahanan awam negara itu dalam pengiraan terkini.
Pegawai kerajaan masih berusaha untuk memulihkan talian elektrik dan komunikasi yang terputus serta membersihkan serpihan dari jalan raya.
Kira-kira 20 ribut dan taufan besar melanda negara kepulauan itu atau perairan sekitarnya setiap tahun, membunuh ramai orang dan menyebabkan berjuta-juta lagi terus hidup dalam kemiskinan.
Kajian terkini menunjukkan ribut di rantau Asia Pasifik semakin dekat dengan garis pantai, meningkat dengan lebih pantas dan bertahan lebih lama di atas daratan akibat perubahan iklim.


























