Hajiji (kanan) melancarkan buku tulisannya “My Journey”.
KOTA KINABALU: Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengajak rakan-rakan seperjuangan untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan minda, memerangi segala tohmahan, pembohongan dan fitnah yang menjadi-jadi di luar sana.
“Inilah bentuk cabaran dan ujian terbaharu dalam perjuangan. Kita tidak mahu rakyat terpedaya dan mempercayai segala pembohongan dan fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang dan musuh-musuh politik kita.
“Sebagai kepimpinan parti yang dekat dengan golongan akar umbi, saya mengarahkan semua Ketua Bahagian serta Ketua-Ketua Sayap, agar memantapkan Biro Politik masing-masing. Kerana itu adalah peranan biro berkenaan untuk menangkis dan memerangi segala dakyah, tohmahan, pembohongan dan fitnah yang dilemparkan terhadap parti kita, terhadap pimpinan kita dan terhadap Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) Plus yang kita dukungi sekarang ini,” kata Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri dan Pengerusi GRS berkata, hakikatnya, akan lebih banyak cabaran dan halangan menunggu di hadapan dan akan lebih besar ujian dan tribulasi yang sedia menanti.
“Justeru, kita harus bekerja keras
dan bersedia untuk berkorban apa saja, bagi memastikan perjuangan ini berlanjutan dan tidak patah di pertengahan jalan! Hari ini, kita kembali menyatukan semangat dan memperteguh keyakinan, merapatkan saf kebersamaan, mendengar pandangan dan mencari kesimpulan untuk memperteguh kesatuan parti kita demi hari esok yang lebih cerah. Insya-Allah.
“Marilah sama-sama kita berusaha dengan sesungguh hati, melakukan yang terbaik dan melaksanakan sedaya upaya, menjadikan Sabah yang bertuah ini terus maju dan makmur, aman dan sentosa, selaras dan seiring dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang bersifat holistik dan inklusif.
“Hala Tuju SMJ ini bertekad untuk
melonjakkan Sabah ke mercu kejayaan dalam pelbagai bidang ekonomi, khususnya Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan. Agenda ini juga menekankan sasaran pembangunan jaringan infrastruktur yang menyeluruh di Sabah, termasuk Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, serta Kelestarian Alam Sekitar.
“Alhamdulillah, Hala Tuju SMJ 1.0 ini telah berjaya merubah dan memperbaiki prestasi ekonomi Sabah yang sebelum ini jatuh merudum akibat pandemik Covid-19. Namun situasi mula berubah, bila mana GRS mengambil alih Kerajaan Negeri pada hujung bulan September, 2020, dengan mengadaptasikan konsep politik pembangunan melalui suatu dasar yang realistik dan pragmatik, sesuai dan secocok dengan kehendak dan keperluan Sabah.
“Pendekatan mesra pelabur yang kita ambil, telah berjaya menarik masuk beberapa syarikat besar ke negeri ini, di mana pada tahun lalu sahaja nilai pelaburan yang tercatat berjumlah RM11.34 bilion, merupakan yang ke-7 tertinggi dalam negara. Serentak dengan itu, hasil negeri turut meningkat naik pada tahun yang sama yang mencecah RM7 bilion, merupakan yang tertinggi dalam sejarah!
“Selain itu, kita juga berupaya meningkatkan peratus pertumbuhan ekonomi negeri dengan unjuran 4.5 hingga 5 peratus pada tahun ini.
“Semua ini dapat dicapai kerana kita mempunyai iltizam politik yang tinggi. Pertama, untuk mewujudkan kestabilan politik. Kedua, untuk memulihkan semula ekonomi negeri. Ketiga, bekerja keras untuk memantapkan sistem penyampaian dalam sektor awam; termasuk memantapkan hubungan baik dengan sektor swasta, dan keempat, menjaga dan memelihara hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Keempat-empat pendekatan ini telah berhasil membawa negeri ini kembali ke landasan yang tepat, dan kita berharap rakyat akan terus memberikan mandat kepada kita pada pilihan raya akan datang, kerana agenda besar pembangunan seperti yang terkandung di dalam Hala Tuju SMJ masih banyak yang perlu dilaksanakan,” katanya.






























