Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memuji keputusan Mahkamah Agung Perancis yang sepenuhnya menolak cabaran yang difailkan oleh individu-individu yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu yang tidak lagi wujud ke atas Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyambut baik berita gembira yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di akaun media sosialnya.
“Kami menegaskan bahawa kami tidak mengiktiraf sebarang tuntutan ke atas Sabah kerana kami adalah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Hajiji turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Azalina atas usaha mereka untuk membatalkan “Final Award” oleh penimbang tara Sepanyol.
Azalina dalam hantarannya menggambarkan keputusan tersebut sebagai kemenangan bersejarah dan signifikan bagi negara.


































