Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Sektor minyak sawit dijangka terkesan susulan kemenangan calon daripada Republikan, Donald Trump dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) berikutan unjuran perubahan dalam dasar perdagangan.
Menurut Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, sektor komoditi tersebut akan terkesan sekiranya ada berlaku dasar perdagangan yang mungkin diperketatkan.
“Hal ini disebabkan Malaysia mempunyai kebergantungan dengan pasaran AS.
“Kemungkinan ada perubahan dasar utama melibatkan ekonomi dan perdagangan contohnya seperti cukai dan tarif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas beliau, bagaimanapun, susulan kemenangan Trump, Malaysia berkemungkinan boleh mendapat manfaat dari pendekatan Trump sebagai Presiden untuk mengukuhkan keadaaan geopolitik semasa.
“Saya mengharapkan kemenangan Trump ini boleh membawa kepada pendekatan yang lebih tegas kepada dasar antarabangsa sedia ada khususnya melibatkan pembangunan persekitaran yang lebih kondusif dan stabil yang boleh memberi impak dan manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara kita,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pasaran menjangkakan Trump akan lebih menumpukan kepada ekonomi domestik AS yang dikatakan telah mulai perlahan.
“Selain itu, beliau akan mengurangkan barangan import dan menggalakkan barangan keluaran domestik dipasaran serta mengukuhkan kembali nilai mata wang dolar AS sebagai mata wang dunia.
“Berkemungkinan beliau (Trump) juga mahu mengekalkan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) dan tidak menurunkan kadar faedah hanya sekiranya terdesak
“Harga minyak mentah juga dijangka naik berdasarkan pemerintahan Trump dahulu yang menyokong industri minyak dan gas AS kehadapan dan kurang berminat dengan industri tenaga baharu,” katanya.
Trump menang untuk penggal kedua pilihan raya Presiden AS apabila berjaya memperoleh 294 undi elektoral, mengalahkan calon Demokrat, Kamala Harris.

































