Hajiji disambut oleh pegawai kanan sebaik tiba di Kementerian Kerja Raya.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengeluarkan arahan tegas agar Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah menyelesaikan isu jalan rosak di seluruh Sabah secara proaktif.
“Kita mesti bertindak secara proaktif. Jika perlu, arahkan konsesi untuk segera membaiki kerosakan. Kita harus sentiasa memikirkan keperluan rakyat. Tanpa tindakan, Kerajaan dan JKR akan terus menerima kecaman daripada rakyat,” katanya.
Ketua Menteri berkata demikian semasa lawatan kerjanya ke Kementerian Kerja Raya di Bangunan JKR di Sembulan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemantauan adalah penting bagi para pegawai, sama ada melibatkan jalan persekutuan atau negeri.
“Ambil perhatian terhadap rungutan rakyat. Terdapat aduan yang berterusan. Jadi saya mahu JKR Negeri tidak menunggu tetapi mencari penyelesaian segera untuk masalah ini,” kata Hajiji.
Mengenai isu Air Tanpa Hasil (NRW) di Sabah, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri akan mendapatkan penyiasat bebas untuk mencari punca NRW sebanyak 60 peratus, sambil menambah bahawa kes kecurian air adalah berleluasa di Sabah.
Mengenai kekurangan tenaga kerja di Kementerian, Ketua Menteri mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong untuk meneliti perkara tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, kementeriannya akan terus meningkatkan usaha menyelesaikan isu melalui pelbagai inisiatif.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif, Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, pembantu-pembantu menteri dan pegawai kanan Kementerian Kerja Raya.
































