Kebanyakan pelancong lebih gemar memilih penginapan di Mesilou berbanding Kundasang dan Ranau.
KOTA KINABALU: Setiap kali cuti panjang mahupun cuti sekolah, pengusaha inap desa di Kundasang pasti tidak menang tangan untuk mengendalikan tempahan pelancong.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Homestay Mesilou Atamis, Amrin Gupili berkata, sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum musim cuti sekolah, kebanyakan inap desa sudah mula menerima tempahan.
Malah, sebahagiannya terutama berhampiran kaki Gunung Kinabalu sudah menutup tempahan dua atau tiga bulan sebelum cuti sekolah.
Menurut beliau, kebanyakan pelancong domestik khususnya dari Semenanjung lebih gemar memilih penginapan di Mesilou berbanding di sekitar Kundasang dan Ranau.
Katanya, pengunjung yang menginap sekitar Mesilou dan Pekan Kundasang boleh mencecah 8,000 hingga 10,000 orang satu malam pada musim cuti sekolah.
“Sekarang pun ada beberapa inap desa telah menerima tempahan penuh sepanjang cuti sekolah pada Disember ini. Boleh dikatakan penginapan sedia ada di Mesilou belum dapat menampung permintaan pelancong pada musim kemuncak.
“Pada masa ini, terdapat 66 pengusaha inap desa yang berdaftar di bawah persatuan dan selebihnya pengusaha individu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi pelancong yang tinggal di inap desa berdaftar, pelbagai aktiviti luar turut ditawarkan kepada mereka seperti mendaki di Maragang Hill, Swine Hill dan Mesilou 3Sixty peak.
Di samping itu, ada juga aktiviti pertanian disediakan untuk pelancong oleh pengusaha inap desa. Namun, biasanya pelancong domestik lebih gemar melakukan aktiviti sendiri berbanding yang ditawarkan di inap desa.


































