Rina menerima PGDK membawa gelaran Datuk.
KOTA KINABALU: Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang serta Pingat-pingat Negeri Sabah siri ketiga hari ini menyaksikan 250 individu menerima anugerah masing-masing.
Istiadat bersempena dengan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin itu berlangsung di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu.
Mendahului senarai 17 penerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran “Datuk” ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal.
Turut menerima PGDK, Setiausaha Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah, Datuk Dr. Aliakhbar Gulasan yang juga ADUN Dilantik serta Timbalan Ketua Audit Negara, Datuk Patimah Ramuji; Timbalan Pengerusi Asian Supply Base Sdn Bhd, Datuk Aziah Atoh; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kredit Sabah, Datuk George Taitim Tulas dan Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Sabah, Datuk Joanna Kitingan.
Dalam istiadat berkenaan, Tun Juhar juga menganugerahkan darjah Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) kepada 27 individu antaranya, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Sabah, Awg Dzulkernain Awg Hassan; Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor dan Pengarah Penyiaran Sabah, Salmah Hashim.
Sementara itu, Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah, Ken Kartina Khamis; Penolong Setiausaha Kanan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Azry Hairie Abdul Rajak; Penolong Pengarah Inkubator Kepimpinan Belia Sabah , Edith Clerisa Marimo dan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbahrin Ismail merupakan antara penerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK).

Velvet antara selebriti yang menerima darjah kebesaran negeri Sabah.
Dalam pada itu, seramai 54 individu dianugerahkan Bintang Setia Kinabalu (BSK) antaranya, Penolong Setiausaha Persekutuan Sabah, Ag Mohd Izzuddin Hariz Ag Kachee dan Michol Lin.
Sementara itu, 87 individu lagi menerima Bintang Kinabalu (BK) antaranya, Pegawai Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, Syariman Latih serta Jurufoto Jabatan Penerangan Sabah, Johnny Joklis serta Shahvian Muhamad Razali, selain 24 individu yang dikurniakan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT).
Menarik perhatian para tetamu, beberapa selebriti tanah air turut dikurniakan ADK iaitu Marsha Milan, Stacy dan Velvet manakala, Didie Alias pula menerima BK.
Hadir sama pada istiadat itu adalah Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni dan para tetamu jemputan khas.

































