Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah, diapit oleh Hajiji, Kadzim dan Dr. Joachim semasa upacara pemotongan kek Pulut Kuning.
KOTA KINABALU: Sebanyak 77 kontinjen mengambil bahagian dalam perbarisan di Padang Merdeka sempena sambutan rasmi ulang tahun ke-71 Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin hari ini.
Yang di-Pertua Negeri dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor sejurus tiba di Padang Merdeka di sini.
Sebanyak tujuh belas das tembakan meriam dilepaskan sebagai tanda hormat semasa lagu kebangsaan dan negeri dimainkan, diikuti dengan pemeriksaan barisan kehormatan oleh Yang di-Pertua Negeri.

Tun Juhar kemudiannya dianugerahkan Sayap Kehormat VAT69 oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain.
Acara kemuncak majlis tersebut ialah upacara memotong kek Pulut Kuning ulang tahun kelahiran oleh Tun Juhar, yang diiringi oleh Ketua Menteri dan tetamu lain, selepas persembahan khas oleh Lembaga Kebudayaan Sabah.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang merupakan Pengerusi jawatankuasa sambutan, para Menteri Kabinet lain, para pembantu menteri dan tetamu undangan lain.





























