Kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Ranau awal pagi ini.
RANAU: Seorang wanita melecur di muka dan tangan dalam kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Kampung Langkau, di sini, awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.20 pagi.
Katanya, seorang kanak-kanak yang terjaga dan kebetulan mahu ke tandas, terlihat bahagian atas siling dapur terbakar.
Terdapat dua keluarga seramai 12 orang di rumah ketika itu, namun kesemua mereka sempat bergegas keluar dari rumah sebelum api mula merebak.
Bagaimanapun, katanya, mangsa masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil beberapa barang penting yang tertinggal di dalam rumah itu menyebabkan dia mengalami kecederaan melecur.
Ridwan berkata, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 2.21 pagi dan sepasukan 8 anggota bomba diketuai Komander Operasi, PBK II Mastin Suli bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian yang terletak 25 kilometer dari balai, pasukan bomba mendapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal dua tingkat berkeluasan 30×60 kaki yang 80 peratus terbakar.
“Dilaporkan terdapat seorang mangsa wanita berusia 47 tahun melecur di muka dan tangan dan pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum mangsa dikejarkan ke hospital menaiki van EMRS untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Ridwan berkata, pasukan bomba melakukan operasi pemadaman menggunakan 1 aliran 200 kaki dan 2 pancutan air menggunakan sumber air dari jentera dan air terbuka.
“Api berjaya dikawal pada jam 5.15 pagi. Pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain dan operasi ditamatkan pada 7.10 pagi,” katanya.


































