Masiung Banah
SANDAKAN: Polisi yang tidak membenarkan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dibina atas air wajar dikaji semula bagi memastikan akses pembinaan dapat diterjemahkan kepada golongan sasar mengikut kesesuaian tempat.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, Urusetia SMJ perlu terlebih dahulu meneliti kesesuaian tempat atas air yang tidak mempunyai risiko bencana alam.
Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Gagasan Rakyat Bahagian Sekong di Dewan Masyarakat Sandakan, kelmarin. Minggu lalu, beliau merasmikan MAT Gagasan Rakyat Bahagian Karamunting.
“Resolusi MAT kedua-dua bahagian itu adalah sama, mereka meminta Kerajaan Negeri mengkaji semula polisi supaya Rumah Mesra SMJ dapat dibina di tapak atas air.
“Banyak projek Rumah Mesra SMJ tertangguh pembinaan di kedua-dua kawasan itu hanya kerana kedudukan tapak yang dicadangkan di atas air paya.
“Saya melihat tapak atas air paya di kawasan itu selamat daripada bencana ombak dan air pasang besar kerana kedudukan rumah tradisi penduduk di situ terlindung dengan dataran dan pulau berdekatan,” jelasnya.
Menurut beliau, sudah menjadi tradisi turun-temurun kebanyakan penduduk di Sekong dan Karamunting membina rumah di atas air paya dan tidak pernah berlaku sebarang bencana alam melibatkan tsunami atau ombak pasang besar.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mengesa Kerajaan Negeri melonggarkan syarat agar pembinaan Rumah Mesra SMJ dapat dibina di atas air yang tidak berisiko.
Masiung meminta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KLPB) Sabah mengkaji semula polisi tersebut agar Rumah Mesra SMJ dibolehkan dibina di atas air mengikut keperluan golongan sasar.
Beliau memberi contoh, bangunan kerajaan atau rumah atas air sudah menjadi tradisi di Sabah seperti di daerah Tuaran, Menumbok, Tawau dan perkampungan Pulau Gaya di Kota Kinabalu yang dilengkapi bangunan sekolah, masjid dan bangunan milik kerajaan.
Ramai penerima bantuan Rumah Mesra SMJ tidak memiliki tanah di dataran, satu-satunya lot yang mereka ada cuma tapak rumah atas air, jelasnya.
ADUN Kuamut itu mendakwa banyak Rumah Mesra SMJ di seluruh negeri kini tertangguh pembinaannya kerana polisi KPLB tidak membenarkan ia dibina atas air.
Sabtu lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri, Hajiji Noor mengumumkan, pembinaan Rumah Mesra SMJ akan ditambah menjadi 40 buah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun depan berbanding 20 buah sebelum ini.


































