Hajiji dan kepimpinan Gagasan Rakyat bersama dengan para perwakilan bahagian Melalap.
TENOM: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mahu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) memastikan kemenangan di DUN Melalap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Kita tidak mahu rakyat kita di Melalap rugi kerana diwakili pembangkang. Oleh itu saya mahu kita bersatu hati bagi memastikan kemenangan bergaya bagi GRS-PH Plus di DUN Melalap ini.
“Saya selalu berkata kepada pemimpin-pemimpin untuk belajar daripada kesilapan lampau. Sabah ketinggalan akibat perpecahan.
“Di Sabah, sejarah politik kita asyik bergaduh. Ini harus jadi pengajaran, kalau kita bersatu hati dan bersandarkan kepada SMJ, Sabah akan mendapat perubahan yang begitu besar di masa hadapan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Melalap di Dewan Sekolah Menengah Tshung Tsin di sini, hari ini.

Haji Hajiji Haji Noor
Hajiji berkata, Gagasan Rakyat merupakan sebuah parti berbilang kaum dan inilah matlamat perjuangan parti untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada semua tanpa mengira kaum, agama dan keturunan.
Berkenaan usul-usul yang diluluskan Gagasan Rakyat Bahagian Melalap semasa Mesyuarat Tahunannya, Hajiji yang juga Ketua Menteri memberi jaminan akan meneliti dan menimbang sebaik mungkin.
“Terutamanya berkenaan tanah, terdapat banyak permohonan yang dibuat bertahun lamanya tetapi sehingga sekarang belum mendapat kelulusan. Saya sendiri ingin tahu mengapa ini terjadi.
“Terdapat tanah perkampungan yang didirikan dalam kawasan Hutan Simpan. Kita akan keluarkan supaya rakyat kita dapat tinggal di atas rezab kampung yang sah. Saya ingat setelah kita ambil alih kerajaan beribu-ribu ekar tanah telah kita keluarkan daripada Hutan Simpan di seluruh Sabah. Saya akan ambil perhatian yang serius tentang isu yang sama di daerah ini,” katanya.
Selepas itu, Hajiji menerima 1,500 borang keahlian baharu Gagasan Rakyat Bahagian Melalap.
Beliau turut menyampaikan sumbangan ikhlas kepada mangsa bencana alam yang melanda Tenom pada 17 September lalu.
Turut hadir, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kemabong, Datuk Rubin Balang, Bendahari Agung Gagasan Rakyat, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua komponen GRS dan PH.


































