Redonah mengetuai perarakan konvoi bermotorsikal bersama Wanita Gagasan Rakyat bahagian Senallang di Semporna kelmarin.
SEMPORNA: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diminta peka dengan apa sahaja isu berbangkit dalam kalangan rakyat di peringkat akar umbi.
Ketuanya, Datuk Redonah Bahanda berkata, jentera wanita parti adalah mata dan telinga kepada Kerajaan dan sewajar mampu memainkan peranan berkesan dalam menangani masalah rakyat.
Menurut beliau, tanpa maklumat yang jelas sukar bagi Kerajaan melalui agensi yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan yang sepatutnya kepada rakyat.
“Jentera Wanita Gagasan Rakyat sangat penting bukan sahaja bekerja untuk parti dalam meraih sokongan untuk menghadapi pilihan raya tetapi juga menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan.
“Tanpa kerjasama dan sokongan anda, sukar bagi Kerajaan yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk bertindak balas sekali gus menangani isu dan masalah rakyat,” katanya pada Mesyuarat Tahunan Wanita Gagasan Rakyat bahagian Senallang di Hoel Seafest di sini kelmarin.
Hadir sama Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Aziah Atoh, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Senallang, Hainul Asikin Yahya serta perwakilan Wanita Gagasan Rakyat Senallang dan ahli jawatankuasa bahagian Gagasan Rakyat Senallang.

Redonah yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, jentera wanita parti juga perlu bekerja keras dalam memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat di peringkat akar umbi mengenai Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, program dan gerak kerja Hala Tuju SMJ perlu dihayati dan difahami oleh semua pihak bagi membolehkan pelaksanaannya berjalan dengan lancar dan berkesan.
“Tanpa pemahaman rakyat sukar bagi kerajaan untuk melaksanakan sesuatu projek yang pastinya bermatlamat bagi mencapai kemajuan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita berharap jentera parti yang ada boleh membantu menjayakan hasrat Hala Tuju SMJ dengan lebih baik dan mencapai sasaran,” katanya.


































