NEW YORK: Penyanyi, Taylor Swift dan Lalisa Manoban daripada kumpulan Blackpink antara yang mencuri perhatian di Anugerah Muzik Video MTV (VMA), hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, dalam acara berprestij itu, artis asal Thailand, Lisa, menyanyikan lagu terbaharunya ‘New Woman’ dan ‘Rockstar’ sekali gus menjadikan ia persembahan solo pertama di VMA selepas bernaung di bawah syarikat sendiri, Februari lalu.
Klip penuh persembahan Lisa yang dimuat naik penganjur di media sosial itu telah berjaya meraih lebih satu juta tontonan dan lebih seribu komen daripada peminat.
Tidak hanya itu, Lisa juga turut menerima trofi Best K-Pop menjadikan ia anugerah keempat dimenanginya di VMA selepas lagu ‘LALISA’ tahun lalu serta beberapa anugerah bersama Blackpink seperti kategori Best Choreography, Best Metaverse Performance dan Song of the Summer.
Selain itu, ucapan Taylor Swift memuji kekasihnya Travis Kelce semasa menerima trofi untuk kategori Video of the Year menerusi lagu ‘Fortnight’ mengundang perhatian ramai.
Dalam ucapannya, Taylor berkongsi pengalamannya semasa penggambaran ‘Fortnight’ menceritakan Travis akan menepuk tangan membuatkan suasana di set menjadi ceria.
“Video ini nampak sangat sedih tapi sebenarnya penggambaran video ini sangat seronok semasa dirakamkan.
“Setiap kali adegan habis dirakam, saya akan jerit ‘cut’. Kemudian saya dengar seseorang akan bersorak tepuk tangan bertentangan studio selepas habis penggambaran dan orang itu ialah kekasih saya, Travis.
“Setiap yang lelaki ini sentuh akan bertukar gembira, ceria dan magik. Jadi saya mahu mengucapkan terima kasih kepadanya,” kata Taylor.
Bukan itu sahaja, penyanyi itu juga menang besar apabila meraih enam trofi daripada kategori Artist of the Year, Song of the Summer, Best Collaboration, Best Pop, Best Direction dan Best Editing.
Selain Taylor, Chappell Roan diiktiraf sebagai Best New Artist manakala Sabrina Carpenter berjaya menggenggam trofi Song of the Year menerusi lagu Espresso.

































