KOTA KINABALU: Membawa balik bakat ke Sabah adalah antara agenda dalam pertemuan antara Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor (gambar, kiri) dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim di Sri Gaya di sini semalam.
Sim memberitahu Ketua Menteri bahawa Kementeriannya, melalui HRD Corp, akan membantu menangani masalah brain drain di Sabah dengan menarik bakat tempatan kembali ke negeri ini.
Mereka juga membincangkan kemungkinan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menubuhkan pusat pemulihan untuk pencarumnya di Sabah.
Sim turut diiringi Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, Datuk Phoong Jin Zhe, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, ADUN Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Wan Zulkifli Wan Setapa, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pemulihan PERKESO, Datuk Dr. Hafez Hussain.


































