KOTA KINABALU: Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi University College Sabah Foundation (UCSF) dibuka kepada pelajarnya dan juga pelajar sekolah menengah mulai bulan ini.
Pembukaan pusat ini bertitik tolak daripada hasil kajian yang dibuat oleh Centre for Development Studies (CDS) UCSF yang mendapati minat pelajar terhadap pendidikan berkait Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) agak berkurangan.
Antara pengisian menarik pusat sains itu adalah Robotic, Coding, 3D Printing, Virtual Reality dan STEM.
Dua orang pegawai yang diamanahkan mengawal selia pusat berkenaan iaitu Elly Mazlin dan Aisyah mendapati sambutan pelajar UCSF agak menggalakkan.
Menurut mereka, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sambutan dari pengunjung luar juga agak menggalakkan.
Naib Canselor UCSF, Dr. Rafiq Idris berkata, pusat ini berperanan memberikan pendidikan, kesedaran dan sebagai usaha bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran STEM.
Katanya, pusat ini bukan sahaja dibuka untuk manfaat pelajar UCSF tetapi juga pelajar sekolah di negeri ini.
Menurutnya, mata pelajaran STEM penting untuk keperluan serta pembangunan negara dan negeri ini.
“Saya berharap ianya bermanfaat dan menjadi pencetus kepada pelbagai bentuk kerjasama strategik UCSF bersama pelbagai pemegang taruh. Selain itu, diharapkan aktiviti yang dibuat oleh pusat ini berupaya menyokong serta menyuburkan aktiviti penyelidikan yang mendorong inovasi,” katanya.


































