Shahelmey mewakili Ketua Menteri menyampaikan anugerah kepada seorang daripada penerima.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta kepada persatuan-persatuan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO) wanita bagi
melaksanakan lebih banyak program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada
pembangunan wanita di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Menurut beliau, peruntukan itu juga sebagai tanda sokongan Kerajaan yang amat menghargai peranan dan sumbangan wanita secara keseluruhannya.
“Justeru, melihat kepada kepentingan peranan persatuan wanita, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan wanita di negeri ini, yang akan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).
“Saya berharap peruntukan dapat membantu persatuan wanita dalam melaksanakan program atau aktiviti yang memberi manfaat kepada wanita di seluruh negeri ini. Kita sememangnya memperakui betapa pentingnya peranan dan sumbangan kaum wanita dalam apa jua bidang ke arah kemajuan dan pembangunan negara.
“Ini termasuklah dalam pembangunan institusi kekeluargaan, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran serta arena politik,” katanya sempena Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah di sini malam tadi. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk lr. Shahelmey Yahya.

Haji Hajiji Haji Noor
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM6.36 juta kepada JHEWA dan RM700,000.00 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) pada tahun ini bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita.
“Justeru, saya mahu MPWS sebagai badan pemikir dan penasihat berhubung hal ehwal wanita, akan lebih agresif dan proaktif dalam menyumbangkan buah fikiran dan idea baharu ke arah memperkasakan lagi penyertaan dan pembangunan kaum wanita di Sabah.
“Sementara itu, JHEWA sebagai agensi Kerajaan Negeri yang dipertanggungjawabkan menangani hal ehwal wanita, diharapkan terus melaksanakan program pembangunan
wanita secara efektif dan efisien menepati sasaran dan perancangan,” katanya.
Beliau berkata, ramai dalam kalangan wanita pada hari ini sudah seiring dengan
pencapaian golongan lelaki, termasuk berjawatan tinggi dalam pasukan keselamatan negara; jawatan yang suatu ketika dahulu hanya dimonopoli oleh lelaki.
“Tidak kurang juga ramai yang menjadi doktor, peguam, jurutera, termasuklah
menceburi kerjaya sebagai juruterbang dan angkasawan. Ini jelas membuktikan bahawa wanita juga adalah pemangkin kepada kecemerlangan negara, selaras dengan aspirasi Masyarakat Madani.

“Dalam konteks Sabah, kita sentiasa menyokong dan mengiktiraf golongan
wanita untuk menyertai kumpulan pembuat dasar atau pembuat keputusan. Setakat ini, kita mempunyai beberapa wanita yang menyandang jawatan tertinggi termasuk dalam Kabinet Negeri selain mengetuai atau menerajui sektor awam serta swasta.
“Saya percaya lebih ramai lagi golongan wanita akan menjadi peneraju atau ketua
dalam sektor awam mahu pun swasta pada masa hadapan,” katanya.


































