Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Kedua Majlis Tenaga Sabah di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, kelmarin.
KOTA KINABALU: Majlis Tenaga Sabah (MTS) pada mesyuarat keduanya telah
meluluskan beberapa projek kritikal untuk pembangunan penjanaan berjumlah kapasiti 700 Megawatt (MW) ke arah memulihkan Sistem Grid negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, antara projek utama itu ialah Projek Hidro Elektrik dan Loji Janakuasa Gas Asli bagi memastikan keterjaminan bekalan elektrik yang mencukupi di negeri ini pada masa sekarang dan akan datang.
Katanya, mesyuarat MTS juga mendengar maklum balas daripada Energy Commission of Sabah (ECoS) berkenaaan perkembangan projek-projek penjanaan penting lain yang telah diambil tindakan susulan keputusan yang telah dibuat pada mesyuarat MTS pertama bulan Jun lalu.
“Ini termasuklah keputusan ke atas pelaksanaan projek-projek sumber tenaga masa hadapan iaitu potensi dan kaedah pembangunan hidro elektrik secara meluas di Sabah menerusi kajian Sabah Hydro Development Masterplan yang sedang dilaksanakan oleh ECoS, serta kaedah pembangunan loji Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) melalui konsep Projek Perintis Permulaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kedua MTS di Menara Kinabalu di sini kelmarin.
Hajiji berharap segala usaha yang dilaksanakan itu akan mendatangkan manfaat terbaik dalam merealisasikan pencapaian tenaga yang berdayaharap, mampu milik dan mampan untuk masa kini dan akan datang.
Katanya, ini adalah selari dengan Pelan Induk Tenaga – Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040) untuk kemajuan Sabah dan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.
MTS ditubuhkan berikutan penyerahan kuasa kawal selia tenaga daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan untuk menggantikan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah.


































