Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meluncurkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) pada 3 petang esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pelan tersebut merupakan komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan untuk mengangkat darjat dan martabat Bumiputera sesuai dengan hasrat Ekonomi Madani.
Kata beliau, kerajaan ingin memastikan kehidupan rakyat bertambah baik.
“Semoga dengan pelan ini dapat memacu masyarakat Bumiputera menjadi pencipta nilai, bersedia dengan peluang dan cabaran ekonomi masa hadapan.
“Serta kerajaan yang dapat segera mengambil langkah pemantauan dan intervensi untuk memastikan sasaran-sasaran yang ditetapkan dapat dicapai,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, PuTERA35 akan dapat memberi keberhasilan tuntas kepada pembangunan negara, bukan sahaja dari sudut ekonomi bumiputera tetapi manfaat kepada pembangunan negara secara holistik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif dan strategi yang bersesuaian untuk dimasukkan dalam pelan itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (Unit Pengurusan Prestasi Dan Pelaksanaan) Majlis Ekonomi Bumiputera (JPMEB), yang diadakan di bangunan Parlimen, pada 18 Julai lalu.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, majlis peluncuran itu boleh diikuti melalui semua platdorm media sosialnya.
“Saya jemput semua untuk ikuti peluncuran ini secara langsung di semua platform media sosial saya untuk mendengar lanjut butiran yang akan disampaikan,” katanya.


































