Ayob Khan Mydin Pitchay
PETALING JAYA: Rasuah dalam sektor awam semakin menjalar kerana pemimpin baharu yang dipilih ‘sealiran’ dengan pemimpin sebelum ini bagi memastikan kepentingan mereka yang sudah pencen terus terjaga.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jika mahu menghentikan rasuah barisan pemimpin yang dipilih dan dilantik mesti yang bebas rasuah.
“Kalau bos makan rasuah, yang dilantik pun makan rasuah juga. Pakat-pakat makan rasuah kalau boleh sebelum matilah.
“Itu kita perlu pastikan rasuah ini dibanteras. Pastikan pemimpin mahupun mereka yang dilantik, betul (tidak makan rasuah),” kata Ayob menerusi perkongsian video di media sosial kelmarin.
Menurut beliau, budaya menerima rasuah perlu dihentikan segera kerana ia merosakkan negara dan memberi kesan buruk kepada masyarakat.
Bagaimanapun, kata Ayob, rasuah hanya boleh dibanteras dengan memberi impak besar jika tindakan dimulakan di peringkat atas terlebih dahulu.
“Yang bawah kita ambil tindakan tetapi jika yang atas diambil tindakan, yang bawah akan takut. Kalau atas biarkan, maka yang bawah akan bermaharajalela.
“Dalam aspek agama, kita akan rasa takut untuk ambil rasuah dan amat mendukacitakan orang Islam anggap rasuah seperti budaya, tidak salah.
“Inilah salah satu sebab sampai sekarang, rasuah adalah isu besar dan saya kategorikan sebagai musuh nombor satu negara. Jika dahulu dadah musuh nombor satu negara, sekarang rasuah,” katanya.
“Khinzir ketika darurat boleh dimakan, rasuah dalam apa keadaan haram,” katanya.
































