Kasim Muda (tiga kanan) dalam sidang akhbar di IPD Kota Kinabalu, kelmarin.
KOTA KINABALU: Demi upah RM200 hingga RM500 setiap kali transaksi, ada pelajar sekolah yang bertindak sebagai keldai akaun dalam kes penipuan dalam talian.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pelajar sekolah itu antara 90 suspek yang ditahan kerana terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah komersial antara Mei hingga Julai lalu.
Beliau berkata, memandangkan pelajar sekolah memerlukan wang, apabila ditawarkan untuk sewakan akaun bank/kad ATM, mereka terima kerana tidak tahu bahawa itu adalah satu kesalahan.
Katanya, tangkapan suspek yang juga keldai akaun dan telah didakwa di mahkamah kerana memberikan atau menyewakan akaun/kad ATM kepada pihak ketiga serta gagal memberi keterangan munasabah mengenai penglibatan akaun dalam kes penipuan.
Sepanjang tempoh sama, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial telah membuka 302 kertas siasatan yang melibatkan kerugian berjumlah RM37.76 juta. Daripada jumlah itu, 203 kes merupakan penipuan atas talian yang menyebabkan kerugian berjumlah RM8.15 juta.
“Sebanyak enam kes menaik iaitu lima kes berprofil tinggi iaitu menyamar sebagai pemilik akaun bagi pengeluaran wang simpanan tetap pelanggan daripada salah satu bank komersial berjumlah RM24.7juta dan satu kes penipuan atas talian berjumlah RM1.5juta.
“Daripada 90 suspek yang ditahan, seramai 24 suspek kes berprofil tinggi yang melibatkan individu berpangkat Datuk, pegawai kerajaan dan juga pegawai bank turut ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, kelmarin.
Menurut Kasim, 10 daripada 24 individu tersebut telah didakwa di Mahkamah Seksyen di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan terlibat dalam jenayah terancang, selebihnya akan didakwa setelah mendapat arahan daripada pihak pendakwa raya.
Jelas beliau, PDRM menyarankan setiap lapisan masyarakat untuk sentiasa cakna dengan pelbagai taktik terkini jenayah atas talian untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.


































