Pemenang pingat gangsa, Lee Zii Jia (kanan) bersama Viktor Axelsen dan Kunlavut Vitidsarn ketika upacara pingat badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte de La Chapelle, semalam.
PETALING JAYA: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui terkilan kerana tidak dapat menyumbang emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Utusan Malaysia, anak jati Alor Setar, Kedah yang menghuni ranking No. 7 dunia itu bagaimanapun tekad untuk menebus kekecewaan pada edisi seterusnya di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada 2028.
“Bagi saya, kita sudah pun memiliki ramai pemenang pingat gangsa dan perak dalam Sukan Olimpik, cuma yang kurang adalah pingat emas. Mungkin orang lain tidak rasa apa-apa tetapi ini (gangsa) adalah pembakar semangat untuk perjalanan saya.
“Saya akan kembali semula di LA 2028 dan tidak akan terus berhenti mencuba untuk menggapai emas untuk Malaysia dan diri saya sendiri,” katanya yang ini menghuni ranking No.7 dunia.
Kelmarin, bekas juara Seluruh England itu memastikan dia tidak lagi pulang dengan tangan kosong dalam penampilan keduanya di pentas Olimpik selepas Tokyo 2020 apabila memenangi gangsa hasil kemenangan ke atas pemain India, Lakshya Sen 13-21, 21-16, 21-11 pada aksi penentuan gangsa di Porte de La Chapelle Arena.
Zii Jia gagal melangkah ke pentas final selepas tewas di tangan juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn di separuh akhir.
Dalam pada itu, Zii Jia mendedahkan dia pada mulanya keliru dengan kemahuan diri sama ada mahu membawa pulang pingat gangsa ataupun tidak sebaik sahaja tidak dapat melayakkan diri ke perlawanan akhir.
“Secara jujur, selepas aksi separuh akhir, saya tidak tahu nak pingat ini (gangsa) ataupun tidak kerana matlamat saya adalah emas. Selepas kalah perlawanan itu, rasa seperti ditampar Kunlavut dan rasa kosong,” katanya.
Untuk rekod, Zii Jia muncul menjadi atlet negara ketiga meraih pingat di pentas Olimpik selepas Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei.
































