Keadaan palam pintu Boeing 737-9 MAX tercabut menyebabkan penerbangan 1282 Alaska Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas, pada 7 Januari 2024.
WASHINGTON: Syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), Boeing, merancang untuk melakukan perubahan reka bentuk pintu bagi mencegah kejadian panel bahagian tersebut tercabut, sehingga memaksa pendaratan cemas penerbangan Alaska Airlines 737 MAX 9 pada bulan Januari lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Naib Presiden Kanan Boeing untuk Kualiti, Elizabeth Lund, semalam berkata, pihaknya sedang melakukan perubahan tersebut yang dijangka siap tahun ini untuk digunakan pada semua pesawatnya.
Dalam kejadian pada Januari lalu, penyiasat mendakwa empat palam tercabut daripada pintu berkenaan, mengakibatkan stuktur tersebut pecah akibat tekanan semasa berada di udara.
“Syarikat sedang membuat perubahan reka bentuk yang akan memastikan pintu tidak boleh ditutup sehingga keadaan benar-benar dipastikan selamat,” kata Lund semasa sebutan pertama siasatan kes terbabit oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) di sini.
Kenyataan Lund seperti laporan Al-Jazeera itu dibuat ekoran persoalan mengapa Boeing tidak menggunakan sistem amaran untuk palam pintu jika ia tidak selamat sepenuhnya.
Kejadian melibatkan syarikat Alaska Airlines itu menjejaskan reputasi Boeing apabila pesawat MAX 9 dilarang beroperasi oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) selama dua minggu bagi membolehkan siasatan dibuat.
NTSB turut mengeluarkan laporan 3,800 muka surat merangkumi fakta dan temu bual dari siasatan yang sedang dijalankan.
Penerbangan itu selamat melakukan pendaratan cemas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland sekitar pukul 5 petang waktu tempatan bersama 171 penumpang dan enam anak kapal.
































