Peserta kontijen Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang bergambar setelah diumumkan johan keseluruhan pada Majlis Penutupan Pertandingan Kawad Kecekapan Tahun 2024 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Marang, semalam.
MARANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan jumlah kumulatif 17,691 kes kebakaran terbuka berlaku di seluruh negara bermula awal Januari sehingga 6 Ogos tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Datuk Nor. Hisham Mohammad berkata kes tertinggi melibatkan kebakaran belukar iaitu 12, 850 kes dan diikuti tapak pelupusan haram atau pembakaran sampah sarap (2, 295 kes) serta hutan dengan 1,693 kes.
Menurut beliau, secara puratanya sebanyak 35 insiden kebakaran terbuka dilaporkan berlaku setiap hari bagi tempoh berkenan.
“Kita menerima peningkatan berganda bilangan panggilan kecemasan membabitkan kes pembakaran terbuka sepanjang tempoh musim Monsun Barat Daya(MBD).
“Sepanjang Jun lalu, sebanyak 610 panggilan kecemasan diterima di seluruh Malaysia dan trend meningkat mengejut pada Julai apabila sebanyak 1,800 kes pembakaran terbuka direkodkan.
“Keseluruhan panggilan diterima membabitkan kes pembakaran terbuka ketika MBD setakat ini ialah 3,200 panggilan termasuklah kejadian di kawasan Teluk Panglima Garang, Selangor yang ambil masa sembilan hari untuk operasi memadam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Kawad Kecekapan Tahun 2024 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, dekat sini, semalam.
Pertandingan yang bermula pada 3 Ogos lalu itu menyaksikan johan keseluruhan berjaya digondol kontinjen Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang.
Selain itu, Nor. Hisham juga memberitahu, pihaknya bimbang berlaku kejadian banjir kilat berikutan trend hujan lebat yang tertumpu di satu-satu tempat.
“Berdasarkan pengalaman bulan lalu, berlaku banjir kilat di Hulu Selangor dan Kuala Lumpur berikutan hujan lebat bertumpu di kawasan tersebut.
“Selain itu berlaku juga banjir besar di Penampang, Sabah, selama dua hari,” ujarnya.




























