Evana Rusilih (kanan) bersama adik kembarnya, Evany semasa majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah di SICC, Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Pasangan kembar yang merupakan anak petani menarik nafas lega apabila terpilih untuk menerima tawaran Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Evana Rusilih, 20, berkata, walaupun biasiswa itu hanya ditawarkan kepada salah seorang daripada mereka, namun ia memberi makna cukup besar.
“Dengan pendapatan ibu sebagai petani kira-kira RM800 sebulan melalui hasil jualan di tapak tamu mingguan di Pekan Tenom, tawaran biasiswa ini amat penting bagi saya,” katanya dalam majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Anak keempat daripada lima beradik berkata, dia mengambil keputusan tinggal berjauhan daripada ibu sejak berusia 16 tahun demi mengejar impian untuk bergelar pelajar cemerlang.
Pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenghilan di Tuaran itu berkata, dia bersama adik kembarnya, Evany Rusilih meninggalkan kampung halaman dan tinggal bersama ibu saudara mereka yang merupakan seorang guru.
Katanya, Ibu saudaranya banyak membantu mereka dari segi kewangan dan memberi mereka motivasi untuk terus mencapai kecemerlangan.
Evana yang bercita-cita menjadi guru sejarah tidak pernah berpisah dengan adik kembarnya sejak bersekolah.
Dia berharap mereka berdua diterima masuk ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Evana memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam STPM manakala adiknya Evany memperoleh PNGK 3.84.
Turut melahirkan kelegaan terpilih sebagai penerima Biasiswa Cemerlang ialah Clarice Chong Yen Ting yang bersekolah di SMK ST Peter, Kudat.
Anak bongsu daripada tiga beradik yang bercita-cita menjadi seorang doktor berkata, memandangkan dua kakaknya masih menuntut di universiti, maka dia amat memerlukan bantuan kewangan bagi menampung yuran pengajian yang tinggi apabila masuk ke universiti kelak.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang menerima anugerah biasiswa ini yang dapat mengurangkan beban kewangan keluarga. Biarpun saya bukan daripada keluarga B40 namun, perbelanjaan melanjutkan pengajian agak besar,” katanya.
































