Kumpulan perusuh di United Kingdom.
LONDON: Malaysia merupakan antara tiga negara yang mengeluarkan amaran keselamatan kepada rakyat masing-masing yang menetap di United Kingdom (UK), selang beberapa hari protes dan rusuhan anti pendatang.
Menurut Utusan Malaysia, agensi berita Jerman melaporkan, selain Malaysia menjadi negara awam berbuat demikian, Nigeria dan Indonesia mengeluarkan amaran dan memberi nasihat kepada rakyat mereka yang tinggal atau melawat UK supaya menghindari demonstrasi.
Amaran perjalanan Kementerian Luar Nigeria yang berpangkalan di Abuja, menyatakan terdapat lonjakan risiko terhadap keganasan dan kekacauan akibat rusuhan di UK baru-baru ini, selain menegaskan ia sudah mencapai tahap berbahaya.
Selain itu, demonstrasi kumpulan pelampau kanan dan kumpulan lain di UK sejak beberapa minggu lalu sudah merebak, dengan beberapa kes tidak terkawal.
Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London menerusi mesej dalam talian berkata, rakyat Malaysia yang menetap atau mengunjungi UK dinasihatkan untuk menjauhi kawasan protes, kekal berwaspada, dan mengikuti kemas kini serta panduan pihak berkuasa tempatan.
Pihaknya juga ‘sangat menggalakkan’ orang ramai untuk mendaftar dengannya untuk ‘menerima maklumat dan bantuan tepat pada masanya’.
Kedutaan Besar Indonesia di London juga mengeluarkan amaran, menasihati warganya di UK untuk mengelakkan kumpulan orang ramai dan meningkatkan tahap waspada.
Keganasan tercetus di beberapa bandar dan bandar raya di England dan Ireland Utara susulan pembunuhan tiga kanak-kanak perempuan di kelas tarian di Southport minggu lalu.
Banyak negara di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Jerman, dan Denmark, mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat mereka selepas rusuhan di England pada musim panas 2011.


































