Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji penjawat awam secara kasar melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan diumum pada bulan ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perincian mengenai kenaikan gaji menerusi sistem itu akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Oktober ini sebelum dilaksana pada hujung tahun ini.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan perkara itu akan menjadi kenyataan walaupun ada dalam kalangan pembangkang (Perikatan Nasional) tidak mengenal erti syukur atas dasar yang diatur kerajaan.
“Dalam tempoh beberapa minggu ini, saya akan mengumumkan beberapa kaedah kasar yang membuktikan dalam sejarah Malaysia, walaupun ada suara pembangkang yang memang tidak pernah reti bersyukur dan menerima kenyataan, tetapi, percayalah apabila saya umumkan bulan Ogos ini.
“Lengkapnya (perincian) seperti mana saya janjikan pada Oktober dan dilaksanakan 1 Disember ini. Apa dia? Iiatu kenaikan gaji penjawat awam paling tinggi dalam sejarah,” katanya dalam ucapan pelancaran Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani (PPAM MADANI) di PPAM Piksel Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri sini hari ini.
Dalam pada itu, kata Anwar mengulangi alasan kenaikan gaji penjawat awam mengambil kira faktor tiada kajian menyeluruh berhubung penyelarasan gaji selama 12 selain mengiktiraf peranan kakitangan kerajaan.
“Kerajaan dan perdana menteri bersilih ganti, namun, penjawat awam tetap menjalankan tugas secara profesional dalam melaksana amanah ini dan kita mahu khidmat kepada rakyat adalah lebih baik setimpal dengan kenaikan ini,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen pada 13 Oktober tahun lalu, Anwar mengumumkan pelaksanaan penuh SSPA dibuat bermula 2025.
Semalam, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd. Shaiful Ibrahim dilaporkan berkata, penjawat awam boleh menyemak dan mengetahui kadar baharu gaji pada minggu depan susulan pelarasan gaji menerusi SSPA.
Pada 1 Mei lalu sempena sambutan Hari Pekerja 2024, berita baik kepada 1.6 juta penjawat awam apabila Anwar mengumumkan kenaikan gaji kepada golongan itu lebih 13 peratus berkuat kuasa 1 Disember tahun ini.
Katanya, pendapatan minimum penjawat awam beserta elaun ditetapkan selepas 1 Disember pada kadar RM2,000 melibatkan implikasi kewangan kerajaan berjumlah RM10 bilion.
Beliau berkata, kenaikan itu adalah antara keputusan kajian SSPA.
Katanya, elaun-elaun yang akan ditambah baik umpamanya cuti bersalin dari 60 ke 90 hari, cuti paternal, peruntukan aduan diskriminasi, peruntukan fleksibel working arrangement, perlindungan dari segi seksual harassment dan peruntukan mengenai aduan.




























