Gambar kenangan selepas membuat lawatan tapak.
KOTA KINABALU: Padang Merdeka sekali lagi dipilih sebagai lokasi Sambutan Hari Malaysia 2024 dan Sabah menjadi tuan rumah peringkat kebangsaan pada tahun ini.
Lokasi tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bil.1/2024 yang dipengerusikan bersama Kementerian Komunikasi (KK) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS) di Wisma Tun Fuad, Kota Kinabalu.
Dalam mesyuarat berkenaan KK diwakili oleh Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Mohamad Fauzi Md Isa manakala KEPKAS pula diwakili Setiausaha Tetap Kementerian, Josie Lai dan disertai oleh ahli jawatankuasa lain antaranya Jabatan Penerangan Malaysia, Polis Di- Raja Malaysia, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu serta Bahagian Istiadat dan Protokol Negeri.
Sambutan Hari Malaysia 2024 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, di samping kehadiran Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah serta Premier Sarawak pada 16 September depan.




























