Indonesia merupakan pengeluar tembakau terbesar di dunia dan mempunyai kira-kira 70 juta perokok dewasa.
JAKARTA: Indonesia menaikkan had umur undang-undang minimum untuk membeli rokok kepada 21 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu sebahagian daripada siri perubahan peraturan kesihatan yang bertujuan mengurangkan tabiat merokok di negara itu, yang merekodkan kadar merokok tertinggi di dunia.
Menurut tinjauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2021, Indonesia merupakan antara pengeluar tembakau terbesar di dunia dan mempunyai kira-kira 70 juta perokok dewasa.
Dalam peraturan kerajaan yang ditandatangani oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi) minggu lalu, Indonesia menaikkan umur minimum untuk membeli rokok secara sah kepada 21 tahun dan melarang penjulan rokok sebatang, yang biasa dijual di kedai jalanan tempatan.
Peraturan itu bertujuan untuk menurunkan kadar perokok dan mencegah tabiat merokok di awal usia.
Antara ketetapannya adalah melarang penjualan rokok dalam jarak 200 meter dari sekolah dan taman permainan.
Peraturan ini berkuat kuasa serta-merta.
Menurut tinjauan Kementerian Kesihatan Indonesia tahun lepas, 7.4 peratus daripada 70 juta perokok di negara itu adalah berusia antara 10 dan 18 tahun, dengan 15 hingga 19 tahun merupakan kumpulan umur paling ramai merokok.
Peraturan baharu ini juga melarang penjualan rokok konvensional dan elektronik di aplikasi elektronik komersial serta laman media sosial.
Pengiklanan rokok di media sosial juga dilarang. Hukuman bagi pelanggaran terdiri daripada teguran bertulis hingga larangan sementara untuk mengiklankan rokok.
Peruntukan baharu mengenai pengiklanan akan berkuat kuasa dalam masa dua tahun.
Penyokong antimerokok berkata, beberapa peraturan baharu tidak mencukupi untuk membendung tabiat tidak sihat itu.
Indonesia berusaha mengurangkan tabiat merokok dengan menaikkan kadar duti eksais terhadap produk tembakau hampir setiap tahun, termasuk sebanyak 10 peratus pada 2024.


































