Kepakaran yang membabitkan lapan rumah di perkampungan setinggan di Jalan Apas Batu 4, Kampung Hidayat, di Tawau hari ini- Ihsan Bomba
TAWAU: Seorang wanita mengalami kecederaan akibat melecur dalam kebakaran yang memusnahkan lapan buah rumah di perkampungan setinggan di Jalan Apas Batu 4, Kampung Hidayat, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, wanita berusia 31 tahun itu melecur di bahagian kaki kiri dan muka.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kebakaran itu pada pukul 1.50 pagi dan sepasukan 20 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati lapan buah rumah termasuk empat buah kenderaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut dan bomba berjaya menghalang api merebak ke rumah berhampiran dengan membuat ‘fire break’.
Tindakan pantas bomba memadam kebakaran daripada merebak berjaya menyelamatkan 15 rumah lain daripada turut terbakar.
“Operasi pemadaman api terkawal pada pukul 3.43 pagi dan semasa kejadian terdapat seorang mangsa cedera akibat melecur di bahagian kaki kira dan muka.
“Mangsa dihantar ke Hospital Tawau dengan menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi dilaporkan tamat pada pukul 7.24 pagi.


































