Menurut laman web pengeluar, kanak-kanak bawah 18 tahun dilarang daripada makan keropok R 18+ Curry Chips.
TOKYO: Seramai 14 pelajar sekolah menengah di Jepun terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami sakit akut di sekitar mulut selepas makan keropok kentang yang terlampau pedas.
Menurut Utusan Malaysia, lebih 30 pelajar di sebuah sekolah menengah Tokyo dilaporkan berkongsi keropok itu sewaktu rehat, sebelum mula mengadu mengalami loya dan sakit akut di sekitar mulut.
14 daripada mereka dikejarkan ke hospital. Kesemua mereka dilaporkan dalam keadaan stabil, tetapi hanya seorang sahaja yang tidak mampu berdiri dan perlu menggunakan kerusi roda.
Menurut media tempatan, seorang pelajar lelaki membawa keropok itu ke sekolah hanya untuk berseronok. Ini kerana, dia pernah makan snek itu sebelum ini dan mendapati rasanya sangat pedas.
Keropok berkenaan mempunyai jenama ‘R 18+ Curry Chips’, lapor Asahi Shimbun dan Fuji TV.
Berdasarkan laman web pengeluar, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dilarang memakan keropok itu, kerana dibimbangi memberi kesan kepada kesihatan.
Laman web firma itu berkata, sejumlah besar lada pedas yang dikenali sebagai ‘ghost pepper’ digunakan sebagai bahan keropok tersebut.
Mereka yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan perut bermasalah, sangat dilarang daripada mencubanya, menurut laman web tersebut.