Masiung Banah
KOTA KINABALU: Harga pasaran hartanah di negeri ini dijangka akan meningkat sehingga 15 peratus susulan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, sekiranya harga bahan binaan sedia ada tidak dikawal, harga pasaran hartanah boleh melonjak antara 10 hingga 15 peratus pada suku tahun ketiga.
Biarpun Kerajaan Madani memberi jaminan tiada kenaikan harga bahan mentah di Sabah dan Sarawak, penyasaran subsidi diesel yang tidak meliputi sektor pembinaan akan memberi kesan kepada peningkatan harga hartanah.
Beliau berkata, kenaikan harga bahan mentah dipengaruhi oleh kenaikan kos pengangkutan dalam sektor hartanah yang tidak tersenarai untuk menerima subsidi tunai kerajaan.
“Harga bahan binaan di Semenanjung Malaysia telah bertambah antara tiga hingga lima peratus. Maka, kos penghantaran ke Sabah melalui kapal laut akan menjadi lebih tinggi.
“Kos logistik melibatkan proses pertukaran kapal laut di Pelabuhan Klang turut mempengaruhi kenaikan harga bahan mentah itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, indeks kos bahan binaan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSIM) pertengahan bulan lalu menunjukan harga papan lapis, besi dan simen mencatat kenaikan sehingga 1.7 peratus.
Masiung berkata, kos pengangkutan bagi Sabah dan Labuan adalah lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia dan ini akan turut mendorong kepada kenaikan harga bahan mentah di Sabah dalam sektor pembinaan.


































