KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir mantan palsu bagi mendapatkan bayaran pampasan tanah bernilai kira-kira RM111,000.
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, suspek iaitu seorang lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan mengemukakan tuntutan palsu pada tahun 2014 bagi membantu ahli keluarganya mendapatkan bayaran pampasan tanah tersebut di sebuah jabatan dengan alasan tanah tersebut terlibat dengan sebuah projek pembinaan jalan sedangkan tanah tersebut tidak terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Katanya, suspek akan di bawa ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu esok untuk didakwa.


































